KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- Hasil perdagangan dan keselamatan serantau susulan lawatan Perdana Menteri India Narendra Modi ke Malaysia serta status terkini kluster tibi antara isu yang bakal dibincangkan di Dewan Rakyat hari ini.
Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, persoalan mengenai lawatan Modi, langkah bersama Malaysia dan India terhadap pelaksanaan tarif Amerika Syarikat serta usaha memulihkan demokrasi dan keamanan di Myanmar dibangkitkan Lim Guan Eng (PH-Bagan) kepada Menteri Luar pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.
Pada sesi sama, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) meminta Menteri Kesihatan menyatakan status terkini kluster tibi mengikut negeri serta jumlah kes aktif yang masih dipantau selain langkah kawalan khusus di institusi berisiko tinggi seperti sekolah berasrama dan penjara.
Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) pula bertanyakan kepada Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam mengenai faktor kerajaan mengharamkan pengimportan sisa elektronik berkuat kuasa 4 Feb lepas dan tindakan kementerian untuk melupuskan e-waste atau sisa elektronik yang dibawa masuk secara haram sebelum ini.
Semasa sesi soal jawab, Lee Chuan How (PH-Ipoh Timor) mengemukakan soalan kepada Menteri Pengangkutan mengenai status penjualan serta jumlah tiket tambahan perkhidmatan tren elektrik (ETS) dan Ekspres Timuran oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sempena perayaan Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri.
Turut tersenarai ialah soalan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) kepada Menteri Dalam Negeri berhubung cadangan kementerian untuk menghapuskan rekod-rekod bekas banduan bagi memudahkan mereka mencari pekerjaan.
Mesyuarat diteruskan dengan sesi penggulungan perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja oleh kementerian-kementerian berkaitan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial