WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KHAZANAH BAYAR DIVIDEN BERJUMLAH RM2 BILION KEPADA KERAJAAN.

10/02/2026 01:05 PM

 

KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- Khazanah Nasional Bhd merekodkan keuntungan daripada operasi sebanyak RM5.6 bilion bagi tahun kewangan 2025 dan membayar dividen berjumlah RM2 bilion kepada kerajaan, sekali gus mengukuhkan peranannya sebagai penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Pengarah Urusan Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata sejak penubuhannya pada 2004, Khazanah telah membayar dividen terkumpul berjumlah RM21.1 bilion kepada kerajaan, dengan pulangan pemegang saham terkumpul berjumlah RM93.1 bilion.

“Pulangan jangka panjang adalah penting, namun kami juga mempunyai keperluan untuk menyokong kerajaan dari segi keuntungan dan memberikan pulangan daripada pelaburan.

“Inilah sebabnya saya berpendapat adalah penting bagi kami untuk mengekalkan portfolio yang seimbang dan pelbagai bagi mengurus risiko dan memastikan pulangan yang agak konsisten sepanjang kitaran ekonomi,” katanya pada sesi taklimat media Khazanah Annual Review 2026 di sini hari ini.

Amirul Feisal berkata pendekatan ini membolehkan Khazanah menyokong pelbagai keperluan sambil menumpukan kepada pertumbuhan jangka panjang dan kestabilan dalam aliran tunai.

“Khazanah diberi amanah untuk mengurus aset negara bagi menumbuhkan kekayaan jangka panjang Malaysia.

“Ini melibatkan pembinaan portfolio yang berdaya tahan dan pelbagai serta berusaha menjana pulangan mampan dan terlaras risiko, di samping memajukan keutamaan ekonomi Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Pelaburannya Datuk Hisham Hamdan berkata program ‘Gear Up’ kerajaan akan membolehkan pulangan yang lebih tinggi untuk membiayai pertumbuhan baharu dan menyokong rancangan pengembangan syarikat.

Program itu bertujuan meningkatkan permodalan pasaran syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebanyak RM100 bilion antara 2024 hingga 2028, dengan sasaran jumlah pulangan sebanyak 7.5 peratus kepada para pemegang saham.

“Dengan pulangan yang lebih tinggi, kami dapat membiayai pertumbuhan baharu dan menyokong rancangan pengembangan syarikat-syarikat ini.

“Bukan itu sahaja, kami boleh membayar dividen kepada kerajaan dan memastikan KLCI menunjukkan prestasinya yang baik bagi menarik pelabur ke Malaysia,” kata Hisham.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan