WILAYAH - SARAWAK > BERITA

NUR DIANA, ZI YU SEDIA BERI SAINGAN DI WAAP

10/02/2026 07:09 PM

KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- Dua pemain golf negara Nur Diana Syafiqah Abdullah dan Foong Zi Yu menyasarkan prestasi terbaik apabila Kejohanan Wanita Amatur Asia Pasifik (WAAP) bermula di Kelab Golf Diraja Wellington, New Zealand, pada Khamis ini.

 Menurut kenyataan WAAP, Nur Diana, 17, menerima panggilan lewat untuk menyertai kelompok elit dan bakal menguji kemahirannya buat kali pertama menentang pemain amatur terbaik Asia-Pasifik.

Sementara itu, Zi Yu, 20, merancang untuk bermain secara “boring golf” bagi membolehkan dirinya mengekalkan konsistensi dan mencabar gelaran juara.

Dua pemain muda ini antara lima wakil Malaysia yang bakal beraksi minggu ini, termasuk juara bertahan Jeneath Wong, pemain pertama negara yang memenangi kejohanan berprestij itu di Vietnam tahun lepas.

Nur Diana berkata beliau amat menghargai peluang tersebut walaupun tidak berada dalam kelompok lima terbaik negara.

“Ini pengalaman yang sangat berharga untuk bertemu pemain hebat dan terus belajar,” kata pemain baharu ini, yang mengidolakan Jeeno Thitikul dari Thailand, juara pertama WAAP pada 2018 dan kini menduduki ranking nombor satu dunia wanita.

Sementara itu, Zi Yu yang menuntut di Universiti Nevada, Las Vegas, Amerika Syarikat, yakin permainannya kini lebih matang berbanding penyertaannya sebelum ini.

“Dahulu, fokus saya cuma nak layak ke pusingan akhir. Sekarang saya lebih yakin. Cuaca dijangka berangin, tapi saya jangka minggu yang menyeronokkan. Saya mahu bermain boring golf, pastikan bola sentiasa dalam lapangan dan berada di posisi yang baik,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan