WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PENANGGUHAN PROJEK JOHOR TIDAK GANGGU ALIRAN PELABURAN PUSAT DATA

10/02/2026 11:19 PM

KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- Setakat Januari 2026, tiada pelaburan pusat data yang telah ditangguhkan, berisiko dilengahkan atau berpotensi berpindah ke negara lain susulan keputusan menangguhkan pembangunan pusat data baharu di Johor sehingga 2027 akibat kekangan bekalan air.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menerusi jawapan bertulis Dewan Rakyat yang dikeluarkan di laman sesawang Parlimen hari ini berkata kerajaan kekal komited untuk memastikan pelaksanaan projek pusat data dapat direalisasikan secara tersusun.

“Ini termasuklah memastikan ketersediaan sumber air yang mencukupi serta meneroka sumber air alternatif yang lebih mampan untuk kegunaan operasi pusat data di seluruh negara.

“Melalui kerjasama strategik dengan pakar teknologi global, Kerajaan telah meneroka pelbagai kaedah termasuk penyejukan rendam,”katanya.

MITI berkata penyejukan rendam merupakan kaedah penggunaan pelincir khas untuk menyerap haba secara terus daripada pelayan, yang mana ia mampu mengurangkan penggunaan air hampir 100 peratus bagi proses penyejukan teras dan sistem penyejukan berasaskan perlicir.

Kementerian itu menjawab soalan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) mengenai anggaran nilai pelaburan langsung asing yang telah ditangguhkan, berisiko dilengahkan atau berpotensi berpindah ke negara pesaing susulan Keputusan menangguhkan pembangunan pusat data baharu di Johor sehingga 2027 akibat kekangan bekalan air.

Tambahnya, melalui langkah-langkah proaktif dan bersepadu ini, Kerajaan yakin bahawa Malaysia tidak sekadar menjadi tapak pusat data, tetapi juga hab digital serantau yang kompetitif, berdaya tahan dan menjadi contoh terbaik dalam mengimbangi kemajuan industri dengan kelestarian alam sekitar.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan