WILAYAH - SARAWAK > BERITA

IPT PERLU WUJUD KERJASAMA STRATEGIK DENGAN PEMAIN INDUSTRI - ZAMBRY

11/02/2026 01:03 PM

PUTRAJAYA, 11 Feb (Bernama) -- Semua Institusi Pengajian Tinggi (IPT) perlu mewujudkan dan memperkukuh kerjasama strategik dengan pemain industri bagi memastikan ekosistem pendidikan tinggi lebih relevan selari dengan keperluan pembangunan negara.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata pendekatan berkenaan bukan lagi pilihan sebaliknya keperluan dalam memastikan graduan yang dilahirkan memenuhi kehendak pasaran kerja serta menyokong agenda perindustrian negara.

“Seruan untuk mengadakan hubungan yang baik antara industri dan juga universiti bukan hanya tertumpu kepada Malaysia Technical University (MTUN), bukan hanya teknikal saja tetapi juga melibatkan semua universiti IPTA dalam negara kita.

“Sebagai contoh Universiti Sains Malaysia (USM) telah menjadi pusat pembangunan dalam industri semikonduktor dan telah menggabungkan semua kepakaranyang ada dalam industri dan universiti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sidang Akademia Penyelidikan Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) Bersama Industri 2026, di sini hari ini.

Turut hadir Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Naib Canselor MTUN Prof Datuk Dr Massila Kamalrudin.

Zambry berkata kaedah dan model pembelajaran tradisional di kampus sahaja tidak lagi selari dengan perkembangan dan keperluan industri ketika ini. 

Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata MTUN yang menggabungkan beberapa universiti teknikal dalam negara, berjaya melahirkan graduan yang mempunyai pengetahuan luas serta dikehendaki oleh pemain industri.

“MTUN ini agak menarik kerana ia dibuat untuk melahirkan graduan yang khusus dalam apa yang kita istilahkan, kalau bahasa dulu kita panggil applied knowledge.

“Mereka melaksanakan ilmu yang dipelajari pada peringkat asas, khususnya dalam bidang pembuatan, iaitu mereka yang akan menjadi kompeten dari segi teknikal, berorientasikan amalan, dan bersedia untuk memasuki kilang,” katanya.

Pada majlis itu, Zambry menyaksikan pertukaran 27 dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian antara MTUN dengan pihak industri.

Turut diadakan penyerahan cek cura sumbangan endowmen daripada industri kepada MTUN, iaitu masing-masing RM50,000 kepada Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan RM51.86 juta kepada Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan