ALOR SETAR, 11 Feb (Bernama) -- Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kedah akan menganjurkan Konvensyen PKR Kedah di Hotel Raia di sini, Jumaat ini.
Pengarah Komunikasi Majlis Pimpinan Negeri PKR Kedah Tunku Nashrul Abaidah memaklumkan konvensyen itu sebagai platform perancangan strategik untuk menetapkan keutamaan perjuangan, menyusun hala tuju politik negeri serta menyelaras gerak kerja secara lebih sistematik dan berfokus.
“Konvensyen itu akan menghimpunkan pimpinan serta anggota dari seluruh negeri sebagai manifestasi usaha untuk memperbaharui iltizam PKR dalam memperjuangkan agenda reformasi, keadilan sosial serta pentadbiran yang adil, telus dan berintegriti.
“Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyampaikan amanat sebagai panduan dan pengukuh semangat perjuangan kepada seluruh pimpinan serta anggota parti di Kedah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kehadiran Anwar mencerminkan komitmen kepimpinan tertinggi untuk terus memperkukuh PKR di Kedah, di samping menegaskan keperluan politik berprinsip, kepimpinan berintegriti serta pembelaan yang berterusan terhadap kepentingan dan kesejahteraan rakyat.
“Konvensyen itu akan menjadi pemacu penting dalam memperkukuh kesiapsiagaan parti dan organisasi serta meningkatkan keyakinan anggota dalam mendepani cabaran politik semasa dan mendatang khususnya dalam mengukuhkan sokongan rakyat serta memperjuangkan tadbir urus yang adil dan berwibawa,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial