PUTRAJAYA, 11 Feb (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bekerjasama dengan Pejabat Penipuan Serius United Kingdom (SFO UK) dalam siasatan berterusan melibatkan IJM Corporation Bhd berhubung transaksi kewangan dan pelaburan di luar negara bernilai kira-kira RM2.5 bilion.
Ketua Pesuruhjayanya Tan Sri Azam Baki berkata kedua-dua agensi sedang bekerjasama rapat dan dikehendaki mematuhi prosedur tertentu dalam proses pengumpulan maklumat dan bukti.
“Saya tidak fikir ini akan menjadi masalah kerana setiap agensi mempunyai agenda sendiri dalam siasatan ini. Apa yang penting, kita perlu memastikan kedua-dua pihak mendapat manfaat.
“Sekarang kami sedang dalam proses pertukaran maklumat, bukannya bukti lagi. Pegawai-pegawai saya kini sedang berkomunikasi dengan SFO,”katanya pada sesi khas bersama media di sini, hari ini.
Beliau berkata siasatan kes berkenaan mungkin mengambil masa kerana SPRM juga menunggu hasil siasatan yang dijalankan oleh pihak berkuasa di UK.
“Dana yang dilaburkan, kira-kira RM2.5 bilion di UK, mungkin mempunyai isu di negara itu, termasuk kemungkinan melanggar undang-undang pencegahan pengubahan wang haram mereka. Jadi di sini, kita bukan sahaja menyiasat, malah memudahkan pihak berkuasa UK. Jadi ia mengambil sedikit masa,” katanya.
Ditanya mengenai peranan Pengerusi Bukan Eksekutif IJM, Tan Sri Krishnan Tan, Azam berkata SPRM akan menentukan sama ada sebarang kesalahan atau salah laku dilakukan termasuk kemungkinan penyalahgunaan dana syarikat.
Jumaat lepas, media melaporkan seorang eksekutif pengurusan tertinggi IJM Corporation Bhd berusia 70-an ditahan untuk membantu siasatan SPRM berhubung isu tadbir urus korporat, proses perolehan, transaksi kewangan dan pemilikan aset di luar negara yang dianggarkan bernilai kira-kira RM2.5 bilion.
Pada 19 Jan lepas, Bahagian Operasi Khas (BOK) menjalankan siasatan terhadap suspek berkaitan isu tadbir urus korporat, proses perolehan, transaksi kewangan serta pemilikan aset berjumlah RM2.5 bilion di luar negara.
Susulan itu, SPRM kemudian membekukan 70 akaun bank persendirian serta akaun syarikat yang berkaitan membabitkan jumlah kira-kira RM30.6 juta.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial