WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SISTEM DWILESEN INDUSTRI PELANCONGAN DI PERINGKAT AKHIR PERBINCANGAN - TIONG

11/02/2026 08:37 PM

PUTRAJAYA, 11 Feb (Bernama) -- Sistem dwilesen dalam industri pengangkutan pelancongan kini pada peringkat akhir perbincangan antara Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) dengan Kementerian Pengangkutan (MOT) bagi memperjelas bidang kuasa serta mengelak kekeliruan dalam pelaksanaan operasi dan penguatkuasaan.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing berkata pada masa ini industri berkenaan melibatkan dua sistem pelesenan berasingan iaitu lesen kenderaan yang dikeluarkan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan lesen syarikat pelancongan yang dikeluarkan oleh MOTAC.

"Oleh itu, perbincangan antara MOTAC dengan MOT dalam pengurusan lesen sedang pada peringkat akhir.

“Langkah seterusnya adalah untuk memperjelas had pengurusan lesen dan bidang kuasa penguatkuasaan bagi memastikan tanggungjawab yang jelas, piawaian yang seragam serta mengelakkan pertikaian antara pengusaha dan pihak berkuasa akibat perbezaan tafsiran," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tiong berkata langkah itu mencerminkan komitmen MOTAC dalam memelihara pembangunan ekosistem pelancongan negara yang sihat serta memastikan pelaksanaan selari dengan matlamat keseluruhan Tahun Melawat Malaysia 2026. 

Beliau berkata semua kenderaan pelancongan yang menjalankan perjalanan persiaran juga wajib menyediakan pemandu pelancong berlesen selaras dengan Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482) bagi menjamin keselamatan pelawat dan reputasi industri.

Tiong berkata tugas pemandu kenderaan adalah memandu manakala pemandu pelancong bertanggungjawab memberi penerangan serta menjaga kebajikan pelancong.

"Saya tidak menggalakkan kenderaan pelancongan yang menjalankan perjalanan persiaran membenarkan pemandu memegang dua peranan serentak sebagai pemandu kenderaan dan pemandu pelancong. Hal ini kerana keadaan ini boleh menyebabkan pemandu gagal memberi tumpuan sepenuhnya ketika mengemudi kenderaan mereka. 

"Dalam usaha memajukan industri pelancongan Malaysia, memastikan keselamatan pelancongan dan pelancongan yang selamat adalah tanggungjawab yang mesti dipikul bersama," katanya.

Tiong berkata aspek keselamatan pelancongan dan pembahagian tugas secara profesional tidak boleh dipandang ringan memandangkan Malaysia telah menyaksikan beberapa kemalangan jalan raya melibatkan pelawat asing dan menunjukkan peningkatan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, sekali gus menjejaskan imej negara serta perkembangan industri pelancongan. 

Bagaimanapun, beliau berkata pengecualian tatacara yang diperuntukkan dalam garis panduan yang dikeluarkan pada 2009 masih berkuat kuasa dan pengecualian khidmat pemandu pelancong terpakai secara automatik bagi perkhidmatan pengangkutan point-to-point atau dari satu lokasi ke satu lokasi melibatkan tujuh orang atau kurang sama ada pelawat tempatan atau asing.

"Pengecualian tatacara sedia ada hanya terpakai kepada perkhidmatan pengangkutan point-to-point yang ditakrifkan secara ketat dan tidak merangkumi sebarang bentuk aktiviti persiaran, penerangan atau persinggahan di lokasi tarikan," katanya.

Tiong berkata bagi kenderaan pelancongan yang membawa tujuh orang ke atas untuk tujuan pengangkutan, pengusaha berkaitan perlu mengemukakan permohonan kepada Pesuruhjaya Pelancongan melalui Sistem Pelesenan dan Penguatkuasaan Pelancongan (Sistem TOURLIST) sebelum pengecualian boleh dipertimbangkan.

"Semua pengusaha pelancongan berlesen hendaklah mematuhi sepenuhnya kehendak undang-undang. Sebarang pelanggaran peruntukan atau penyalahgunaan mekanisme pengecualian boleh dikenakan tindakan seperti denda, pendakwaan atau penggantungan lesen," katanya.

Tiong turut memberi amaran tegas terhadap amalan penyewaan lesen oleh segelintir pengusaha berlesen kepada pemandu atau pengendali kenderaan pelancongan.

"Perkara ini tidak lagi boleh kami biarkan. Jika didapati berlaku pelanggaran sedemikian, tindakan tegas akan diambil," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan