KUALA LUMPUR, 11 Feb (Bernama) -- Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tidak dikenakan penalti sekiranya terdapat sebarang ketidakpatuhan kepada keperluan e-Invois yang berlaku dalam tempoh peralihan e-Invois dengan syarat peniaga telah mematuhi ketetapan yang dinyatakan.
Kementerian Kewangan (MOF) menerusi jawapan bertulis Dewan Rakyat yang dikeluarkan dalam laman sesawang Parlimen hari ini berkata sepanjang tempoh peralihan tersebut, peniaga dibernarkan untuk melaksanakan beberapa perkara.
Antaranya ialah mengeluarkan e-Invois yang disatukan untuk semua aktiviti dan transaksi serta mengeluarkan e-Invois bil kendiri yang disatukan bagi semua keadaan bil kendiri.
“(Ia termasuk) membenarkan apa-apa diskripsi transaksi dimasukkan di medan ‘Keterangan Produk atau Perkhidmatan’ dan jika terdapat permohonan e-Invois daripada pembeli, peniaga juga dibenarkan untuk hanya mengeluarkan e-Invois yang disatukan tanpa mengeluarkan e-Invois bagi setiap transaksi,” kata MOF.
Kementerian itu menjawab soalan Chong Chieng Jen (PH-Stampin) mengenai kelonggaran kepada syarikat yang tersalah masuk data memandangan banyak antara PMKS masih berada dalam tahap permulaan pelaksanaan sistem e-Invois.
MOF memaklumkan bahawa kerajaan telah mengumumkan kemudahan tambahan dalam pelaksanaan e-Invois Fasa 4 yang telah bermula pada 1 Januari 2026, yang mana peniaga diberikan tempoh peralihan tambahan selama 12 bulan iaitu mulai 1 Januari 2026 hingga 31 Disember 2026 berbanding tempoh enam bulan bagi fasa pelaksanaan e-Invois sebelum ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial