WILAYAH - UTARA > BERITA

LGM SERBU PREMIS JUAL SARUNG TANGAN GETAH TANPA PERMIT, 50 TAN DIRAMPAS

11/02/2026 11:30 PM

GEORGE TOWN, 11 Feb (Bernama) -- Lembaga Getah Malaysia (LGM) dengan kerjasama Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) menyerbu sebuah premis di Permatang Pauh, hari ini yang dipercayai aktif menjalankan aktiviti membeli, menyimpan dan menjual sarung tangan getah yang ditolak serta sarung tangan getah sekerap tanpa permit sah.

Dalam operasi bersepadu itu, LGM melalui Unit Inspektorat dan Penguatkuasaan (UIP) menyita hampir 50 tan sarung tangan getah yang disimpan dalam beg jumbo dan guni termasuk alat penimbang, dengan nilai rampasan dianggarkan melebihi RM230,000.

LGM memaklumkan aktiviti berkenaan merupakan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Lembaga Getah Malaysia (Pelesenan dan Permit) 2014, khususnya Peraturan 22(1)(b).

“Tiada seorang pun boleh membeli, menyimpan dan menjual sarung tangan getah yang ditolak dan sarung tangan getah sekerap melainkan jika orang itu memegang suatu Permit PST-G.

“Jika disabitkan kesalahan, individu terlibat boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan hingga dua tahun atau kedua-duanya sekali,” menurut LGM dalam kenyataan malam ini.

Menurut kenyataan itu, agensi tersebut sentiasa mempergiatkan aktiviti kawal selia sarung tangan getah termasuk aspek kualiti selaras dengan status Malaysia sebagai pengeksport sarung tangan getah terbesar dunia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan