WILAYAH - SARAWAK > BERITA

OP E-CIG MEGA: PGA RAMPAS VAPE RM1 JUTA DALAM SERBUAN DI LIMA NEGERI

12/02/2026 12:58 PM

KUALA LUMPUR, 12 Feb (Bernama) -- Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) merampas 2,263 unit peranti dan 165.463 liter cecair rokok elektronik (vape) bernilai lebih RM1 juta dalam serbuan Ops E-Cig Mega yang dijalankan secara serentak di lima negeri, Selasa lepas.

Komander Briged Tengah PGA SAC Hakemal Hawari berkata operasi itu dilaksanakan dengan kerjasama rakan strategik termasuk Kementerian Kesihatan (KKM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Beliau berkata sebanyak 30 premis menjual peranti dan cecair vape diserbu membabitkan 11 di Kuala Lumpur, diikut Selangor (empat), Negeri Sembilan (tiga), Melaka (lima) dan Johor (tujuh).

“Sebanyak 51 individu telah diperiksa sepanjang operasi terdiri daripada 31 lelaki dan 20 wanita, dengan dua lelaki warga asing masing-masing dari Indonesia dan Bangladesh berusia 30-an ditahan mengikut Akta Imigresen 1959/63,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata operasi berkenaan turut merekodkan kutipan RM28,500 hasil daripada kompaun dan saman yang dikeluarkan KKM dan PBT atas pelbagai kesalahan.

Antara kesalahan yang dikesan termasuk penjualan barangan tanpa lesen serta pelanggaran peraturan di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 dan Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian.

Dalam kes berasingan, Hakemal berkata PGA Briged Tengah berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan migran yang aktif di Sabak Bernam, Selangor, menerusi pelaksanaan 'Op Taring Delta' pada Selasa.

Beliau berkata dalam serbuan di kawasan pantai Sabak Bernama kira-kira 5 pagi itu, sebanyak 41 individu termasuk 21 lelaki dewasa, 17 wanita dewasa dan seorang kanak-kanak lelaki telah ditahan.

Menurut Hakemal, siasatan mendapati dua lelaki dewasa dipercayai berperanan sebagai tekong laut berasal dari Acheh, Indonesia telah lama menetap di Malaysia, dan sering beroperasi pada awal bagi bagi mengelak dikesan pihak berkuasa serta beralih kepada kaedah pembayaran tanpa tunai untuk perkhidmatan mereka.

“Bayaran dikenakan bagi setiap perjalanan adalah antara RM1,500 hingga RM3,000 seorang. Mereka menggunakan kapal nelayan laut dalam bersaiz besar melalui laluan di sebelah utara negeri Selangor,” katanya.

Sementara itu, di BUKIT KAYU HITAM, KEDAH, Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta, Perak SAC Balveer Singh Mahindar Singh berkata sebanyak 2,684 botol cecair rokok elektronik berserta peranti dirampas dalam serbuan di 22 premis di Perak, Kedah dan Pulau Pinang, yang dianggar bernilai RM252,245.

Beliau berkata dalam serbuan berkenaan sebanyak 23 individu ditahan terdiri daripada 17 lelaki dan enam wanita berusia 20 hingga 45 tahun.

“Sebanyak 22 premis diserbu melibatkan 11 lokasi di Perak, lapan di Kedah dan tiga di Pulau Pinang. Selain aktiviti penjualan runcit, pasukan serbuan turut menemukan sebuah premis di Kulim, Kedah yang disyaki dijadikan tempat pemprosesan dan penyediaan cecair rokok elektronik,” katanya.

Dalam operasi berasingan, Balveer Singh berkata pihaknya merampas 40 karkas babi dianggarkan bernilai RM96,390, yang diseludup dari negara jiran dalam operasi di Jalan Ulu Pauh, Chuping, Perlis, semalam.

Beliau berkata hasil siasatan awal oleh Cawangan Risik Batalion 1 mengesyaki bekalan karkas babi itu diseludup dari Thailand tanpa permit atau dokumen sah, dan dua lelaki tempatan berusia 32 dan 63 tahun ditahan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan