KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) -- Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), melalui anak syarikat masing-masing TNB Engineering Corporation Sdn Bhd (TNEC) dan PKNS FM Integrated Sdn Bhd (PFMI), memeterai kerjasama strategik untuk membangunkan dan mengendalikan Sistem Penyejukan Berpusat di Seksyen 14, Shah Alam, Selangor.
Menurut kenyataan bersama, kerjasama itu yang dimeterai baru-baru ini, menggabungkan kepakaran kejuruteraan dan keupayaan infrastruktur tenaga TNB melalui TNEC dengan pemilikan aset serta portfolio pembangunan bandar PKNS, sekali gus meletakkan projek itu sebagai pemangkin utama dalam pembangunan bandar yang mampan dan cekap tenaga di Selangor.
“Melalui projek ini, cecair penyejuk yang dijana daripada loji penyejukan berpusat akan dibekalkan kepada bangunan yang dimiliki atau diuruskan oleh PKNS dan syarikat bersekutunya, serta kepada penyewa dan pemajak dalam kawasan pembangunan yang ditetapkan.
“Antara kawasan utama yang terlibat ialah Plaza Perangsang, Plaza Alam Sentral, SA Sentral, SACC Mall, Ibu Pejabat PKNS dan Kompleks PKNS Shah Alam,” katanya.
Ia berkata projek itu turut direka untuk menyokong pembangunan masa depan dalam kawasan berkenaan, termasuk SA Sentral, sebuah projek mercu tanda transformatif yang dirangka untuk meletakkan Shah Alam sebagai hab perniagaan terkemuka di Selangor.
Dokumen kerjasama strategik itu ditandatangani oleh Pengarah Urusan TNEC Ahmad Nizam Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PFMI Shamshul Bahari Ahmad, yang mana ia menjadi tanda pencapaian penting dalam pelaksanaan projek Sistem Penyejukan Berpusat.
Majlis menandatangani perjanjian itu disaksikan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor bagi Infrastruktur dan Pertanian Datuk Izham Hashim, Pengerusi TNEC Mahathir Nor Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKNS Datuk Mahmud Abbas.
Sementara itu, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata kerjasama itu mencerminkan komitmen berterusan TNB dalam menyediakan penyelesaian tenaga inovatif yang menyokong pertumbuhan bandar mampan.
“Melalui kerjasama strategik ini, kami berupaya meningkatkan kecekapan tenaga, mengurangkan jejak karbon dan menyumbang kepada pembentukan bandar pintar yang bersedia mendepani masa hadapan.
“Dengan menggabungkan kepakaran kejuruteraan TNB dan portfolio pembangunan bandar PKNS yang kukuh, kami berhasrat untuk menetapkan penanda aras baharu bagi infrastruktur bersepadu yang menjana nilai jangka panjang kepada komuniti, perniagaan dan alam sekitar,” tambah beliau.
Mahmud turut menyokong sinergi antara TNB dan PKNS dalam pembangunan bandar yang mampan.
“Inisiatif Sistem Penyejukan Berpusat ini sejajar dengan penekanan Kerajaan Negeri Selangor terhadap penyediaan penyelesaian infrastruktur yang mampan, cekap dan bersedia untuk masa hadapan bagi kawasan bandar berkepadatan tinggi, di samping memperkukuh strategi jangka panjang PKNS dalam meningkatkan nilai aset melalui penggunaan teknologi yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar,” katanya.
Melalui TNEC, TNB menyumbangkan kepakaran kejuruteraan yang luas serta pengalaman dalam penyelesaian tenaga berskala besar bagi menyokong pembangunan infrastruktur penyejukan yang berdaya harap, berdaya tahan dan cekap.
Kerjasama itu menegaskan komitmen berterusan TNB dalam memajukan pembangunan bandar yang mampan dan menyokong peralihan Selangor ke arah pembangunan bandar hijau dan rendah karbon, tambah kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial