WILAYAH - SARAWAK > BERITA

BNP DAHULUI DENGAN JURANG BESAR DALAM KIRAAN UNDI PILIHAN RAYA BANGLADESH

13/02/2026 10:02 AM

NEW DELHI, 13 Feb (Bernama) -- Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) mendahului dengan kukuh apabila keputusan awal diperoleh selepas pilihan raya parlimen Bangladesh pada Khamis.

Suruhanjaya Pilihan Raya Bangladesh dijangka mengumumkan keputusan rasmi pada Jumaat.

BNP diunjurkan memperoleh majoriti selesa dalam Jatiya Sangsad (parlimen kebangsaan) yang mempunyai 300 kerusi, manakala pencabar utamanya, Jamaat-e-Islami, berada di tempat kedua.

Pengerusi BNP, Tarique Rahman, dipilih daripada dua kerusi - Dhaka-17 dan Bogura-6 - yang ditandinginya, menurut keputusan tidak rasmi.

Tarique, 60, anak kepada bekas Perdana Menteri Khaleda Zia dan bekas Presiden Ziaur Rahman, bersedia untuk menjadi perdana menteri baharu negara itu.

Lebih 127 juta rakyat layak mengundi dan peratusan keluar mengundi melebihi 60 peratus.

Pilihan raya parlimen ke-13 itu disifatkan sebagai era baharu demokrasi di negara berpenduduk 175 juta itu selepas bekas Perdana Menteri Sheikh Hasina yang tidak popular digulingkan dalam kebangkitan rakyat pada Ogos 2024.

Rakyat Bangladesh turut mengundi pada Khamis dalam satu referendum mengenai pakej pembaharuan perlembagaan bagi memastikan institusi yang bertanggungjawab dan tadbir urus yang baik.

Undi “Ya” mendahului dengan kira-kira 73 peratus.

Pemimpin Jamaat-e-Islami, Shafiqur Rahman, berkata partinya akan memainkan peranan secara konstruktif dan tidak akan terlibat dalam “pembangkangan semata-mata untuk membangkang.”

“Kami tidak mahu kembali kepada budaya politik lama. Kami mahu mengamalkan politik yang positif,” katanya kepada pemberita di pejabat parti pada malam Khamis.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan