BUTTERWORTH, 13 Feb (Bernama) -- Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang wanita yang dipercayai teman wanitanya di sebuah rumah, awal bulan ini.
L. Ravinder, 40, yang bekerja sebagai tukang paip, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa membunuh C. Kanagee, 41, di sebuah rumah di Taman Seri Murni, antara 9.30 pagi hingga 9.41 pagi pada 4 Feb lepas.
Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun, serta sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Lim Zhan Yi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap tertuduh dan menetapkan 31 Mac ini untuk sebutan semula kes bagi menunggu laporan kimia, forensik dan bedah siasat.
Sebelum ini, media melaporkan mangsa yang bekerja sebagai pemandu van sekolah ditemukan terbaring di atas katil di sebuah bilik di dalam rumah di Taman Seri Murni dengan kesan kelar pada leher.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial