WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PKM: WANITA WARGA ASING NASIHAT RAKAN LEBIH PEKA UNDANG-UNDANG MALAYSIA

13/02/2026 03:36 PM

JOHOR BAHRU, 13 Feb (Bernama) -- Tindakan seorang wanita Indonesia membuang sampah di Jalan Ibrahim di sini membawa padah apabila didenda dan perlu menjalani Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) kerana melakukan kesalahan itu sejam selepas undang-undang tersebut berkuat kuasa pada 1 Jan.

Wanita dikenali sebagai Anita, 49, dari Riau berkata membuang botol air dan puntung rokok pada kira-kira 1 pagi semasa menyambut tahun baharu sebelum ditegur pegawai penguat kuasa Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) yang mengetuk tingkap kereta e-hailing dinaikinya.

“Pegawai memaklumkan kesalahan saya. Kejadian itu menjadi pengajaran supaya lebih peka dengan undang-undang di Malaysia dan saya juga sudah memberitahu kawan senegara tentang undang-undang ini,” katanya. 

Ibu kepada lima anak yang bekerja di Johor selama 15 tahun ditemui selepas menjalani sesi PKM hari ini, dengan tempoh PKM dikenakan ke atasnya ialah enam jam selain perlu membayar denda RM500.

Sementara itu, lelaki warga tempatan yang dikenali sebagai Tan, 52, dikenakan hukuman sama kerana membuang puntung rokok di kawasan tempat letak kenderaan di Taman Universiti pada 3 Jan yang dikesan oleh dua pegawai SWCorp. 

“Dalam masa tiga hari saya dikenakan denda. Saya mahu jadi contoh kepada orang ramai supaya tidak melakukan kesalahan sama,” katanya yang juga telah menasihatkan rakannya tentang perkara itu.

Selain itu, masing-masing seorang warga Thailand dan Bangladesh dikenakan denda RM1,000 dan PKM enam jam manakala seorang lelaki Indonesia perlu menjalani PKM lapan jam dan membayar denda RM1,000 atas kesalahan sama kerana membuang puntung rokok.

Kesemua mereka menjalani sesi pertama PKM selama dua jam bermula 9 pagi hari ini di kawasan De'Stulang, Taman Stulang Laut yang meliputi kerja cucian tandas awam, pembersihan longkang dan menyapu jalan.

Sementara itu, Pengarah SWCorp Johor Zainal Fitri Ahmad berkata PKM dijalankan dengan pemantauan penguat kuasa dan baki hukuman PKM perlu diselesaikan dalam tempoh enam bulan selaras dengan perintah mahkamah.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan