KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) -- Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Datuk Zahrah Abd Wahab Fenner membela diri atas lapan pertuduhan rasuah berkaitan penganjuran program SSM, 11 tahun lepas.
Hakim Azura Alwi membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap empat pertuduhan memperoleh suapan berjumlah RM1.21 juta serta empat lagi pertuduhan bersubahat dengan anaknya, Abdulazeez Wan Ruslan, 40, bagi menerima suapan RM160,000.
Bagi tiga pertuduhan, Zahrah, 67, didakwa sebagai ejen iaitu bekas CEO SSM telah secara rasuah memperoleh suapan berjumlah RM1.01 juta sebagai balasan meluluskan pelantikan Ikhlas Padu Sdn Bhd dan SSJ Niaga bagi pengiklanan papan tanda LED komersial SSM di Johor dan Kedah.
Beliau turut berdepan satu pertuduhan memperoleh suapan RM200,000 sebagai balasan meluluskan pelantikan Marikaya Enterprise bagi perkhidmatan pengurusan acara Program Bizfair SSM 2018 peringkat Sabah.
Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di sekitar Pastry House, Lake Fields, Sungai Besi, antara Disember 2015 hingga Mac 2019 mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Zahrah turut diperintah membela diri atas dua pertuduhan bersubahat dengan Abdulazeez menerima RM160,000 bagi meluluskan perolehan kepada dua syarikat serta dua lagi pertuduhan memberikan persetujuan supaya SSM membuat pelaburan pemilikan saham dalam sebuah syarikat lain.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar Lake Fields, Sungai Besi pada 6 Feb 2018 mengikut Subseksyen 28(1)(c) dibaca bersama Subseksyen 16(a)(A) dan 24(1) Akta SPRM 2009, yang memperuntukkan hukuman sama.
Azura bagaimanapun melepas dan membebaskan Zahrah daripada 20 lagi pertuduhan selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.
“Pihak pendakwaan gagal mengemukakan keterangan kukuh bagi membuktikan fakta asas penting berkaitan penerimaan wang rasuah bagi semua 20 pertuduhan tersebut.
“Walaupun penemuan wang rasuah bukan elemen wajib, mahkamah berpendapat bukti sokongan dan bukti keadaan mencukupi diperlukan untuk membuktikan penerimaan wang seperti didakwa,” katanya.
Selain itu, Abdulazeez turut diperintah membela diri atas dua pertuduhan menerima suapan RM85,000 sebagai balasan memastikan ibunya meluluskan perolehan kepada dua syarikat pada 2018.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah restoran di Bandar Tasik Selatan dan di sekitar Lake Fields, Sungai Besi pada Mac serta 6 Feb 2018 mengikut Subseksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 24(1) akta sama.
Semasa prosiding, kedua-dua tertuduh memilih membela diri dengan memberi keterangan bersumpah dari kandang saksi.
Mahkamah mengekalkan tarikh perbicaraan sebelum ini iaitu 1 hingga 3 serta 16 dan 17 April; 20 hingga 22 Mei; dan 27 hingga 29 Julai.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How, Muhammad Asraf Mohamed Tahir dan Nurul Atiqah Mohamad Alias, manakala Zahrah diwakili Datuk Hasnal Rezua Merican, Muzammil Merican dan Intan Nur Alia Nodzri, sementara Abdulazeez diwakili Shahir Ab Razak, Mirdza Fahim Fadzli, Eless Francis dan Nur Syafiqah Zainal Abidin.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial