KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) -- Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hari ini melancarkan Program Ihya’ Ramadan di Masjid Khalid bin Al-Walid di sini sebagai permulaan bagi rangkaian program pengimarahan yang akan dilaksanakan di masjid dan surau ATM di seluruh negara sepanjang Ramadan.
Program yang disempurnakan Panglima ATM Jen Datuk Malek Razak Sulaiman itu menghimpunkan lebih 1,000 warga Kementerian Pertahanan Malaysia termasuk kira-kira 100 pegawai kanan serta 900 pegawai dan anggota lain-lain pangkat.
ATM dalam satu kenyataan memaklumkan program berkenaan dianjurkan oleh Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) dengan kerjasama strategik beberapa pihak termasuk Koperasi Tentera dan Affin Islamic Bank Berhad.
Sebagai manifestasi keprihatinan sosial, ATM turut mengumpul dana dalaman berjumlah RM15,632 hasil sumbangan Markas ATM, Markas Tentera Darat, Markas Tentera Laut dan Markas Tentera Udara bagi menyokong aktiviti keagamaan, pengimarahan masjid serta bantuan kepada golongan memerlukan dalam komuniti pertahanan.
Majlis itu turut menyaksikan penyerahan sumbangan korporat apabila Affin Islamic Bank Berhad menyerahkan cek cura berjumlah RM223,700 yang diagihkan kepada Markas ATM, Markas Angkatan Bersama, Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia.
Sementara itu, Koperasi Tentera menyalurkan sumbangan keseluruhan berjumlah RM300,000 termasuk RM52,000 bagi Program Agihan Bubur Lambuk di 10 masjid dan surau ATM di 10 negeri.
Koperasi berkenaan turut menaja Majlis Berbuka Puasa Perkhidmatan melibatkan kepimpinan tertinggi pertahanan negara dengan sumbangan RM205,550 selain menyumbang RM50,000 bagi program “Sembang Sahur TV3” bersama Tentera Udara Diraja Malaysia yang dijadualkan bersiaran pada 19 Feb.
ATM memaklumkan pelaksanaan program itu mencerminkan pendekatan Whole-of-Government (keseluruhan kerajaan), Whole-of-Society (keseluruhan masyarakat) (WoGoS) melalui sinergi antara warga pertahanan, rakan strategik korporat dan institusi keagamaan dalam memperkasa kesejahteraan komuniti.
Turut hadir ialah Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Dr Zulhelmy Ithnain dan Panglima Tentera Udara Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial