WILAYAH - SARAWAK > BERITA

AKPS PELABUHAN KLANG GAGALKAN CUBAAN SELUDUP 17 TAN AISKRIM

13/02/2026 06:45 PM

SHAH ALAM, 13 Feb (Bernama) -- Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Pelabuhan Klang menggagalkan cubaan menyeludup 17.58 tan aiskrim bernilai RM59,276.82 menerusi pemeriksaan di Pelabuhan Barat, Klang dekat sini. 

Komander AKPS Pelabuhan Klang Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal berkata ais krim tersebut yang dibawa masuk dari sebuah negara Asia Timur diisytiharkan sebagai dumpling sejuk beku. 

“Pemeriksaan mendapati kesemua dagangan tersebut cuba dibawa masuk tanpa permit import Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) yang sah.

"Sitaan dibuat untuk memastikan pematuhan terhadap aspek keselamatan makanan dan kepentingan kesihatan awam negara terus terpelihara,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Nik Ezanee berkata perbuatan mengisytiharkan barangan yang tidak tepat merupakan satu kesalahan serius kerana boleh menjejaskan kawalan pematuhan terhadap peraturan import, termasuk syarat permit, piawaian keselamatan makanan, cukai dan duti import yang berkaitan.

Beliau berkata AKPS komited dalam membanteras kemasukan barangan larangan dan dagangan yang tidak mematuhi peraturan demi menjamin keselamatan, kesejahteraan serta kedaulatan negara.

Kes disiasat di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728]. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan