SIBU, 13 Feb (Bernama) -- Aspek keselamatan awam menjadi keutamaan susulan kejadian runtuhan sebuah blok bangunan yang menempatkan lapan unit kedai di Jalan Pahlawan awal pagi tadi, dengan kawasan sekitarnya ditutup sepenuhnya sehingga diberitahu kelak.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata keadaan struktur bangunan masih belum stabil dan sebarang akses ke kawasan itu tidak dibenarkan buat masa ini.
“Kita faham ada kepentingan perniagaan dan barangan berharga yang masih berada di dalam bangunan, namun keselamatan menjadi keutamaan nombor satu dan kita tidak boleh mengambil risiko,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat berhubung insiden itu di Majlis Perbandaran Sibu (MPS) di sini hari ini.
Beliau berkata berkata berdasarkan pemerhatian serta rakaman video yang tular, struktur bangunan itu jelas tidak stabil dan masih berpotensi bergerak.
“Pagi tadi kita masih mendengar bunyi retakan pada sisa runtuhan, menunjukkan struktur belum benar-benar selamat. Sehubungan itu, laluan di kawasan sekitar ditutup termasuk kepada kenderaan berat bagi mengelakkan orang awam menghampiri zon bahaya,” katanya.
Beliau berkata tindakan itu mungkin menimbulkan kesulitan kepada pengusaha premis berhampiran termasuk sebuah restoran bersebelahan bangunan berkenaan.
“Kita tahu ini menyusahkan peniaga dan penyewa tetapi kita bersyukur kerana ketika runtuhan berlaku awal pagi tadi, tiada sebarang kecederaan dilaporkan,” katanya.
Tiang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan berkata satu lagi mesyuarat akan diadakan pada 23 Feb ini bagi meneliti laporan teknikal yang akan dikemukakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) serta pandangan pakar berkaitan.
Beliau berkata sekiranya siasatan mendapati bangunan itu tidak lagi selamat, pihak berkuasa akan mengisytiharkannya sebagai bangunan berbahaya dan mengarahkan kerja perobohan dilakukan oleh pemiliknya.
Tiang berkata tempoh penutupan kawasan bergantung kepada hasil siasatan dan keputusan teknikal, namun pihak berkuasa memberi jaminan tindakan lanjut akan dilaksanakan secepat mungkin demi keselamatan orang awam.
Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak dalam kenyataan memberitahu pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 2.46 pagi sebelum Pasukan Keluaran Operasi (PKO) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah digerakkan ke lokasi.
Pasukan tersebut kemudian mendapati satu daripada lapan unit deretan bangunan kedai dua tingkat di kawasan itu telah runtuh, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial