ISTANBUL, 13 Feb (Bernama-Anadolu) -- Pengurus kelab Liga Perdana Inggeris Manchester City, Josep “Pep” Guardiola Sala menandatangani jersi pasukan kebangsaan Palestin pada Khamis sebagai tanda sokongan kepada pasukan bola sepak amputasi di Gaza, umum pasukan itu, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Pasukan bola sepak amputasi Gaza al-Irada FC (Gaza of Will) mengumumkan penghargaan itu menerusi satu hantaran di Instagram, menyifatkannya sebagai hubungan simbolik antara atlet tempatan dan komuniti bola sepak global.
"Dari bumi Gaza ke pentas tertinggi bola sepak dunia. Wira kami dalam pasukan Gaza al-Irada menerima mesej istimewa dan tandatangan daripada Pep Guardiola yang digelar ‘ahli falsafah’ bola sepak,” menurut kenyataan pasukan itu.
Para pemain merakamkan penghargaan kepada Guardiola, bekas pemain kelahiran Sepanyol itu, atas sokongannya sambil menegaskan makna mendalam di sebalik jersi yang ditandatangani berkenaan.
“Jersi ini bukan sekadar sehelai pakaian, tetapi pingat kebanggaan yang dipegang setiap pemain yang mencabar kecederaan dan berlari mengejar impiannya. Terima kasih Guardiola kerana melihat dalam diri kami apa yang kami lihat dalam diri kami sendiri: wira yang tidak mengenal erti mustahil,” menurut kenyataan itu lagi.
Imej yang dikongsi pasukan itu menunjukkan pemain amputasi bergambar dengan foto Guardiola yang memegang keffiyeh Palestin.
Pasukan itu sebelum ini turut memuat naik rakaman ahli pasukannya bermain bola sepak di tengah runtuhan di Gaza, menonjolkan keazaman mereka untuk terus berlatih meskipun berdepan keadaan sukar.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial