WILAYAH - SARAWAK > BERITA

RUSIA JANGKA PENYERTAAN BERSKALA BESAR DI DSA 2026

14/02/2026 02:22 PM

Oleh Rohani Mohd Ibrahim

KUALA LUMPUR, 14 Feb (Bernama) -- Rusia menjangkakan penyertaan berskala besar pada Pameran dan Persidangan Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2026 yang akan berlangsung di sini pada April, termasuk menghantar delegasi yang besar serta membuka pavilion utama, kata Duta Besar Rusia ke Malaysia Naiyl M. Latypov.

Beliau berkata penyertaan itu mencerminkan komitmen berterusan Rusia dalam memperkukuh kerjasama pertahanan dengan Malaysia, selain yakin penglibatan negara itu dalam DSA tahun ini akan memberi hasil positif kepada hubungan dua hala.

“Kerjasama pertahanan merupakan elemen penting dalam hubungan dua hala Rusia dan Malaysia. Sektor ini mempunyai sejarah yang sangat baik dalam hubungan diplomatik kita dan akan terus membuka ruang masa depan yang cerah untuk kedua-dua negara,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada majlis resepsi Hari Angkatan Tentera Rusia di sini pada Jumaat.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman, mewakili kerajaan Malaysia pada majlis itu.

Edisi ke-19 DSA, dijadual berlangsung dari 20 hingga 23 April di Pusat Pameran  dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini.

Latypov berkata beliau berharap kepimpinan Angkatan Tentera Malaysia akan mengadakan lawatan ke Rusia tahun ini bagi bertemu rakan sejawat mereka dalam Angkatan Tentera Rusia untuk meneroka serta memperincikan peluang kerjasama selanjutnya.

Beliau turut menyatakan bahawa Rusia menantikan penyertaan yang lebih kukuh pada Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2027, dengan jangkaan penglibatan melebihi edisi 2025.

Russian Knights, unit demonstrasi aerobatik tentera udara Rusia, telah menyertai LIMA sejak 1991.

Sementara itu, Atase Tentera Kedutaan Rusia di Malaysia, Kapten (Tentera Laut) Victor A. Shkulepa, dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada kepimpinan Angkatan Tentera Malaysia dan Kementerian Pertahanan atas peranan mereka dalam memupuk hubungan ketenteraan-teknikal yang kukuh antara kedua-dua negara.

Beliau berkata dalam aspek pembangunan kapasiti, Tentera Udara Diraja Malaysia telah menunjukkan tahap kepercayaan bersama yang tinggi antara Malaysia dan Rusia.

“Rusia bersedia untuk terus menyumbang dalam memperkukuh kerjasama yang saling menguntungkan antara angkatan kita,” katanya.

Hari Angkatan Tentera Rusia disambut setiap tahun pada 23 Feb dan merupakan cuti umum di Rusia. Sambutan itu turut diadakan oleh misi diplomatik Rusia di seluruh dunia. Di Malaysia, resepsi diadakan lebih awal berikutan Ramadan.

Selain sambutan rasmi, hari berkenaan turut diraikan di peringkat masyarakat dan keluarga dalam komuniti Rusia, apabila isteri dan insan tersayang memberikan hadiah kepada pasangan masing-masing sebagai tanda penghargaan terhadap peranan mereka sebagai wira keluarga.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan