TANJONG MALIM, 14 Feb (Bernama) -- Kerajaan memberikan jaminan bahawa pemantauan terhadap sebarang ajaran yang meragukan atau menyeleweng sentiasa dilaksanakan secara berterusan bagi memelihara kesucian agama Islam di negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hassan berkata pihak berautoriti bersama-sama agensi berkaitan sentiasa bekerjasama rapat dengan pihak penguat kuasa bagi memastikan sebarang penyebaran ajaran yang bercanggah dengan al-Quran dan sunah dapat ditangani segera.
“Langkah pemantauan itu penting bagi mengelakkan umat Islam terperdaya dengan fahaman yang tidak sahih, khususnya ketika umat Islam memberikan tumpuan kepada peningkatan amalan sepanjang Ramadan.
“Kita memang mempunyai pihak yang memantau secara rapat dan berterusan, malah semua ini dilakukan untuk memelihara keseluruhan aspek hal ehwal agama di negara kita,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Program Jom ke Sekolah 2026, Lawat Sekolah Agama KAFA dan Program Jamuan di Dewan Semai Bakti, Felda Sungai Behrang dekat sini, hari ini.
Zulkifli berkata pihaknya menyeru orang ramai supaya merujuk pihak berautoriti atau golongan berpengetahuan sekiranya terdapat sebarang perkara yang meragukan.
"Masyarakat juga memainkan peranan penting dengan menyalurkan maklumat atau laporan kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan aktiviti yang mencurigakan.
"Saya juga mengajak umat Islam agar menjadikan Ramadan sebagai medan memperkukuh ibadah, memperbanyak amalan kebajikan serta terus berpaksikan kepada ajaran al-Quran dan sunah," katanya.
Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor Mohd Fared Mohd Khalid berkata lapan gerakan ajaran sesat dikesan masih wujud, namun tidak aktif dan berada di bawah pemantauan rapi Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).
Beliau berkata lapan gerakan utama yang dikenal pasti ialah Hizbut Tahrir, Syiah, Wahabi, Milah Abraham, Si Hulk, GISBH, Qadiani dan The Ahmadi Religion of Place and Light.
Sementara itu, komuniti Felda Sungai Behrang menerima sumbangan keseluruhan melebihi RM115,000 merangkumi bantuan pendidikan, keagamaan dan kebajikan menerusi Program Jom ke Sekolah 2026 yang berlangsung di sini, hari ini.
Zulkifli berkata bantuan yang disampaikan ialah RM20,000 kepada Sekolah Agama KAFA, RM20,000 kepada Masjid Ar-Rahmaniah Sungai Behrang serta RM10,000 setiap satu kepada empat surau di kawasan berkenaan dengan jumlah keseluruhan RM40,000.
"Selain itu, menerusi inisiatif Yayasan Taqwa MAIWP dengan kerjasama Felda, sebanyak 195 pelajar daripada keluarga memerlukan menerima sumbangan persiapan persekolahan berjumlah RM35,685.
“Sumbangan ini ialah tambahan kepada bantuan awal persekolahan kerajaan bagi membantu meringankan beban ibu bapa, khususnya dalam menyediakan kelengkapan berkualiti untuk anak-anak bagi sesi persekolahan tahun ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya telah melancarkan Program Ihya Ramadan Peringkat Kebangsaan pagi tadi di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya melibatkan pelbagai pengisian keagamaan serta bantuan kepada masyarakat di seluruh negara.
Antara sumbangan utama yang diumumkan ialah bantuan Ihya Ramadan daripada Muslim World League melebihi RM350,000 yang memanfaatkan lebih 1,000 penerima, selain sumbangan RM250,000 daripada Nestlé yang akan diagihkan di seluruh Malaysia termasuk ke lebih 70 masjid melalui produk minuman.
Selain itu, Lembaga Tabung Haji turut menyalurkan sumbangan berjumlah RM1.4 juta kepada 14 sekolah agama di seluruh negara, dengan setiap institusi menerima RM100,000.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial