WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SIMPAN SSPN TERIMA DEPOSIT RM24 BILION - PENGERUSI PTPTN

14/02/2026 06:12 PM

DUNGUN, 14 Feb (Bernama) -- Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) yang dikendalikan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah menerima deposit berjumlah RM24 bilion dengan bilangan akaun sebanyak 7.314 juta setakat ini.

Pengerusi PTPTN Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata pencapaian itu hasil beberapa kempen tahun lepas termasuk Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) dari Sept hingga Nov yang berjaya meraih kutipan deposit melepasi sasaran awal RM220 juta.

"Pencapaian ini juga mencerminkan kesedaran yang semakin tinggi dalam kalangan masyarakat mengenai kepentingan penabungan pendidikan tinggi demi masa depan anak-anak," katanya pada sidang media selepas Program Komuniti dan Penyampaian Sumbangan Akaun Simpan SSPN di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Besi dekat sini hari ini.

Turut hadir Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Prof Dr Mohd Zamri Ibrahim dan Pengerusi UMT Holdings Sdn Bhd Datuk Dr Din Adam.

Pada program itu, sebanyak 200 pelajar di sekolah tersebut menerima sumbangan RM50 seorang daripada PTPTN dalam bentuk Akaun Simpan SSPN Prime yang bernilai keseluruhan RM10,000.

Norliza berkata PTPTN akan mengadakan lebih banyak program tahun ini untuk menggalakkan lebih ramai penduduk terutama golongan B40 di kawasan luar bandar dan tanah rancangan Felda menabung dalam Simpan SSPN.

Beliau berkata PTPTN juga mencari kaedah untuk membantu lebih banyak penduduk luar bandar membuka akaun tersebut termasuk mencari dana tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan dana wakaf.

"Kita hanya perlu RM20 seorang untuk buka akaun Simpan SSPN. Jadi selepas itu, kalau dia ada RM30 sebulan, dia tabung RM30 sebulan," katanya.

Sementara itu, Din berkata UMT Holdings turut memberi sumbangan tabungan Simpan SSPN sebanyak RM25 setiap seorang kepada 200 pelajar terbabit pada majlis tersebut.

Katanya UMT Holdings merancang untuk membantu lebih ramai pelajar di Bukit Besi dan kawasan lain membuka akaun Simpan SSPN bagi menggalakkan mereka belajar dengan lebih tekun sehingga dapat melanjutkan pengajian.

"Penganjuran ini selaras dengan komitmen UMT Holdings untuk menyokong agenda pembangunan pendidikan dan kesejahteraan komuniti secara mampan," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan