WASHINGTON, 14 Feb (Bernama-dpa) -- Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mencadangkan bahawa langkah seterusnya bagi mencapai potensi perjanjian damai dengan Rusia terletak di tangan Ukraine, sementara Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky sekali lagi menolak pemberian konsesi wilayah yang merupakan tuntutan utama Moscow, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).
"Rusia mahu memeterai perjanjian dan Zelensky perlu segera bertindak, jika tidak beliau akan terlepas peluang besar," kata Trump kepada wartawan di luar Rumah Putih pada Jumaat.
Dalam ucapannya pada Persidangan Keselamatan Munich pada Jumaat, Zelensky sekali lagi menolak tuntutan Rusia agar menyerahkan wilayah timur Donbass sebagai syarat perdamaian.
Beliau menegaskan kira-kira 200,000 rakyat Ukraine yang masih tinggal di bahagian rantau yang kaya dengan sumber itu yang dikuasai Ukraine, yang sebahagian besar daripadanya telah dirampas oleh Rusia sejak permulaan perang pada Februari 2022.
“Saya perlu menemui mereka, ke setiap apartment, ketuk pintu dan berkata: Percayalah, ini idea hebat. Lupakan rumah kamu, lupakan segala-galanya, keluarga kamu, semuanya, keluar dari rumah kerana ini idea hebat oleh pemimpin besar,” kata Zelensky pada program anjuran Politico itu.
Pentadbiran Trump memberi tekanan kepada Kyiv untuk bersetuju melepaskan Donbass, namun Zelensky konsisten menolak permintaan itu.
Apabila ditanya sama ada Trump memberi lebih tekanan kepada Ukraine atau Rusia dalam rundingan menamatkan perang, Zelensky berkata adalah penting bagi AS memberikan jaminan keselamatan kepada Ukraine bagi mengelakkan konflik berulang selepas perjanjian damai dicapai.
-- BERNAMA-dpa
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial