Kajang, 14 Februari - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menetapkan 2026 sebagai medan untuk bertindak lebih “Berani dan Radikal Perangi Rasuah”, dengan menegaskan bahawa slogan berkenaan bukan sekadar retorik, sebaliknya menuntut ketangkasan, fokus dan disiplin tinggi sebagaimana diperlukan pada setiap bidikan di lapang sasar.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki berkata, perjuangan antirasuah memerlukan setiap tindakan dilaksanakan berasaskan fakta tepat, strategi yang tajam serta keberanian tidak berbelah bahagi demi memastikan integriti dan kepentingan negara terus terpelihara.
“Seperti di lapang sasar ini, setiap bidikan memerlukan ketepatan dan ketenangan. Begitu jugalah dalam perjuangan antirasuah, setiap tindakan kita mesti berasaskan fakta tepat, strategi yang tajam dan keberanian tidak berbelah bahagi,” katanya ketika merasmikan Kejohanan Menembak SPRM Tahun 2026 di Lapang Sasar, Maktab Penjara Malaysia, di sini hari ini.
Tan Sri Azam berkata, kemahiran dan pengendalian senjata api perlu diberi penekanan serius berikutan operasi kini semakin mencabar serta melibatkan kes bersindiket berisiko tinggi, sekali gus menuntut tahap kesiapsiagaan maksimum dalam kalangan pegawai.
Pertandingan itu menggunakan pistol jenis Glock 19 dan turut memperkenalkan format ujian jarak baharu antara 15 hingga 20 meter berbanding jarak tipikal 10 meter sebelum ini, sebagai langkah memastikan pegawai sentiasa selangkah ke hadapan dalam menghadapi sebarang kemungkinan di lapangan.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Keselamatan SPRM, KPKPj Zuhairie Abu Bakar berkata, disiplin dalam penggunaan senjata api menjadi asas utama profesionalisme pegawai penguat kuasa.
“Disiplin dalam penggunaan senjata api mencerminkan profesionalisme bukan hanya tepat pada sasaran, tetapi tepat dalam pematuhan peraturan,” katanya.
Dalam kategori Centre Fire Individu Lelaki, PPs Sriraman Renganathan dari SPRM Selangor muncul juara, diikuti PKPs Mahrodi Mohd Saidin dan PPj Mohd Fadzley Mohd Jalil dari Bahagian Siasatan masing-masing di tempat kedua dan ketiga.
Bagi Centre Fire Individu Wanita, PPj Zatun Najmiah Mohd Sabri dari Bahagian Penyiasatan Tatakelola (BPT) meraih tempat pertama manakala tempat kedua dimenangi oleh KPKPs Haryanti Mohamed Isa dari Bahagian Kecemerlangan dan Profesionalisme (BCP) manakala PKPs Nurzahidah Yaacop dari Bahagian Keselamatan di tempat ketiga.
Kategori Jatuhan Piring pula menyaksikan Bahagian Forensik menjuarai acara, diikuti Bahagian Pengurusan Rekod dan Maklumat (BPRM) di tempat kedua dan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) di tempat ketiga.
Bagi acara Berkumpulan Keseluruhan Centre Fire, Bahagian Siasatan muncul juara, diikuti SPRM Negeri Sembilan di tempat kedua dan Bahagian Pengurusan Integriti Agensi (BPIA) di tempat ketiga.
Dalam kategori VIP Individu, wakil Pengarah SPRM Kedah, PPj Mansur Mohamad meraih tempat pertama, diikuti KPKPj Zuhairie di tempat kedua serta Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam di tempat ketiga.
Kejohanan itu bukan sahaja menjadi platform mengasah kemahiran teknikal dan taktikal pegawai, malah mencerminkan komitmen berterusan SPRM dalam memastikan setiap anggotanya sentiasa bersedia, berdisiplin dan profesional dalam melaksanakan amanah memerangi rasuah.
Turut hadir Pengarah-pengarah Kanan, Pengarah-pengarah Bahagian dan Negeri SPRM.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial