WILAYAH - SARAWAK > BERITA

OPS SELAMAT 25: 820 SAMAN DIKELUARKAN, EKZOS BISING TUMPUAN OPERASI DI IBU KOTA

15/02/2026 12:04 PM

KUALA LUMPUR, 15 Feb (Bernama) -- Sebanyak 820 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik dalam operasi bersepadu Ops Selamat 25 di sekitar pusat bandar awal pagi tadi bagi memastikan keselamatan jalan raya dan mengurangkan kadar kemalangan maut sepanjang musim perayaan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata operasi yang bermula 10 malam itu turut menahan tujuh individu berusia 18 hingga 41 tahun atas pelbagai kesalahan jenayah dan penyalahgunaan dadah.

Beliau berkata daripada jumlah tangkapan itu, empat individu ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 selepas ujian saringan awal air kencing mendapati mereka positif dadah jenis ganja dan methamphetamine.

"Kita juga menyita 83 kenderaan merangkumi 73 motosikal dan 10 kereta mengikut Seksyen 60 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 atas kesalahan modifikasi ekstrem termasuk penggunaan ekzos bising," katanya dalam operasi di Jalan Raja Laut, hari ini.

Mohd Zamzuri berkata isu modifikasi ekzos menjadi fokus utama dalam operasi kali ini memandangkan bunyi bising yang dihasilkan mendatangkan gangguan terhadap ketenteraman awam, khususnya di kawasan bandar raya yang dikelilingi bangunan tinggi.

"Kebanyakan motosikal dan kereta yang ditahan dikesan mengubah suai ekzos hingga mengeluarkan bunyi yang sangat bising. Apabila mereka melakukan aktiviti 'rem' kenderaan, bunyinya bergema dan mengganggu penduduk sekitar," katanya sambil menambah individu termuda yang diperiksa dalam operasi itu berusia 16 tahun.

Dalam operasi bersepadu melibatkan kekuatan 100 pegawai dan anggota itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) turut mengeluarkan 640 notis atas pelbagai kesalahan, manakala Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengeluarkan 12 kompaun berkaitan pencemaran bunyi.

Katanya, sewaktu operasi terdapat seorang penunggang motosikal cuba melarikan diri hingga melanggar kenderaan polis, namun pihak JSPT berjaya menyita motosikal berkenaan dan kini giat mengesan pemiliknya yang melarikan diri.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan