WILAYAH - SELATAN > BERITA

RAKYAT LEGA, BANTUAN SARA PERMUDAH PERSIAPAN RAMADAN

15/02/2026 07:04 PM

SEREMBAN, 15 Feb (Bernama) -- Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang dikreditkan pada 9 Feb lepas disifatkan sebagai tepat pada masanya, lebih-lebih lagi menjelang Ramadan yang memerlukan perbelanjaan tambahan.

Wanita warga emas, Nuraini Ahmad dari Lenggeng berkata bantuan itu memberi kelegaan dalam mengurus keperluan harian khususnya untuk menyediakan kelengkapan dapur sepanjang bulan puasa.

“Saya tiada pencen, suami pula bekerja sebagai pemandu e-panggilan. Jadi, ini sangat membantu dan meringankan beban kami kerana separuh perbelanjaan seperti barangan asas dibeli menggunakan bantuan itu,” kata wanita berusia 64 tahun itu ketika ditemui Bernama di sebuah pasar raya di sini hari ini.

Seorang ibu tunggal Nurhafizahwati Mohd Nasir, 39, berkata bantuan SARA  termasuk tambahan SARA Untuk Semua bernilai RM100 secara sekali beri membolehkannya mengurus perbelanjaan dengan lebih baik.

“Bantuan ini dapat menampung keperluan saya dan dua anak. Kalau sebelum ini belanja saya kira-kira RM200 sebulan tapi dengan SARA ini hampir separuh dapat dijimatkan. Jadi saya rasa bantuan ini sangat bagus dan perlu diteruskan pada masa akan datang.

“Ini kerana ia sangat bermanfaat terutama kepada golongan kurang berkemampuan dan yang ada anak ramai, lebih-lebih lagi sekarang dah dekat Ramadan, kemudian raya lagi dan sebagainya. Walaupun nampak kecil bagi orang lain, tapi besar pada mereka yang memerlukan,” katanya.

Seorang pesara Jalil Sarip, 72, berkata bantuan berkenaan memberi ruang untuknya membuat persiapan Ramadan dengan lebih teratur.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dilaporkan berkata kira-kira 8.1 juta penerima telah menebus bantuan SARA Untuk Semua bernilai RM100 secara beri setakat Jumaat lepas, dengan perbelanjaan hampir RM780 juta.

Beliau berkata sambutan terhadap inisiatif itu amat menggalakkan dan mencerminkan keberkesanan pendekatan kerajaan dalam memastikan bantuan sampai secara langsung kepada rakyat bagi meringankan beban kos sara hidup.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan