WILAYAH - SARAWAK > BERITA

HANYA ‘HAPPY BOOM’, ‘POP-POP’ SAHAJA DIBENARKAN SEMPENA TAHUN BAHARU CINA DI KL

15/02/2026 07:01 PM

KUALA LUMPUR, 15 Feb (Bernama) -- Polis hanya membenarkan penjualan bunga api jenis "Happy Boom" dan mercun "Pop-Pop" bagi sambutan Tahun Baharu Cina, Selasa depan.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata kedua-dua jenis mercun dan bunga api itu selamat digunakan kerana tidak mengandungi bahan letupan yang boleh membahayakan keselamatan orang ramai.

Bagaimanapun, beliau berkata penjualan mercun dan bunga api tersebut masih memerlukan permit daripada Ibu Pejabat Daerah (IPD) yang berkaitan serta mestilah mematuhi spesifikasi yang ditetapkan.

“Sesiapa yang memiliki, menjual, membeli atau bermain mercun serta bunga api selain daripada yang dibenarkan boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 7 dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Fadil turut mengingatkan orang ramai supaya tidak bermain mercun dan bunga api melebihi jam 12 tengah malam bahi mengelakkan gangguan atau bahaya kepada orang awam.

Katanya individu yang ingkar boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 13 Akta Kesalahan Kecil 1955 (Akta 366) serta Seksyen 7 Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207).

Beliau menegaskan bahawa memiliki, menjual, membeli atau bermain mercun dan bunga api tanpa kebenaran adalah satu kesalahan di sisi undang-undang, termasuk sempena mana-mana perayaan.

“Orang ramai dinasihatkan supaya mematuhi undang-undang yang ditetapkan bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan masyarakat serta mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan