PONTIAN, 15 Feb (Bernama) -- Kementerian Kerja Raya (KKR) menggesa semua kementerian dan jabatan berkaitan mengadakan perbincangan segera bagi mempercepatkan proses prapembinaan projek kerajaan di seluruh negara bagi mengelakkan sebarang kelewatan.
Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata setakat ini sebanyak 1,249 projek masih berada dalam fasa prapembinaan, melibatkan perancangan, reka bentuk dan proses perolehan.
“Prapembinaan ini bermaksud tiada kerja fizikal dijalankan di tapak, kontraktor belum dilantik dan Surat Setuju Terima (SST) belum dikeluarkan. Statistik menunjukkan 855 projek masih dalam perancangan, 93 projek dalam fasa reka bentuk, manakala 229 projek sedang dalam proses perolehan.
“Oleh itu, KKR mengarahkan semua pihak terlibat duduk bersama untuk mempercepatkan projek prapembinaan supaya pembinaan dapat dijalankan dengan lebih pantas dan berkesan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Pembinaan Bangunan Tambahan Hospital Pontian di sini hari ini.
Beliau berkata kelewatan sebenar tidak hanya berlaku pada peringkat pembinaan, tetapi banyak projek berdepan kekangan pada fasa prapembinaan, termasuk proses penilaian nilai (VA) dan penilaian kejuruteraan (VE).
“Keadaan ini tidak boleh dibiarkan kerana rakyat menanti kemudahan seperti hospital, sekolah dan infrastruktur asas disiapkan segera. Jika fasa prapembinaan lambat, pembinaan juga akan tertangguh,” katanya.
Selain itu, Ahmad memaklumkan setakat ini terdapat 855 projek rentas kementerian sedang dilaksanakan, dengan 255 projek berada di fasa baik (ahead of time), 273 mengikut jadual, 289 lewat jadual dan 35 projek bermasalah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial