WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KEMALANGAN, PERTAMBAHAN KENDERAAN PUNCA TRAFIK PERLAHAN MALAM INI - LLM

15/02/2026 10:05 PM

KUALA LUMPUR, 15 Feb (Bernama) -- Beberapa jajaran utama lebuh raya di seluruh negara dilaporkan masih bergerak perlahan setakat 9 malam ini berikutan insiden kemalangan dan pertambahan jumlah kenderaan.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memaklumkan di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) E2, trafik perlahan dari Bandar Baru Nilai ke Bandar Ainsdale dan Senawang ke Pedas Linggi akibat kemalangan di KM253.6.

"Bagi arah selatan di jajaran E1 pula, kesesakan dilaporkan dari Changkat Jering ke Kuala Kangsar ekoran kemalangan di KM232.3, manakala dari arah utara trafik perlahan melibatkan jajaran Kuala Kangsar ke Changkat Jering serta Juru ke Seberang Jaya.

"Selain itu, aliran trafik turut dikesan perlahan di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dari Puchong Utama ke Puchong Intan serta Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) melibatkan jajaran IOI Putrajaya dan Persiaran Utara ke Hospital Serdang," katanya ketika dihubungi hari ini.

Secara keseluruhan, trend aliran trafik hari ini dilaporkan tidak terlalu sesak seperti semalam dan dijangka keadaan akan bertambah baik selepas tengah malam.

LLM menjangkakan aliran trafik di semua lebuh raya utama akan kembali lancar selepas 11.59 malam ini susulan berakhirnya tempoh pemberian diskaun tol 50 peratus oleh kerajaan.

Pengguna lebuh raya dinasihatkan supaya sentiasa fokus pada pemanduan, menjaga jarak selamat serta berwaspada terhadap sebarang halangan di hadapan.

"Bagi penunggang motosikal, pastikan anda sentiasa berhati-hati terutamanya di kawasan yang diaktifkan sebagai laluan Smart Lane bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini," jelasnya.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol PLUSLine di 1-800-88-0000 dan laman X @plustrafik atau talian LLM di 1-800-88-7752 serta laman X @llmtrafik.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan