WILAYAH - SARAWAK > BERITA

TURKIYE BAKAL PERKENAL PERATURAN BAHARU MEDIA SOSIAL LINDUNGI KANAK-KANAK

16/02/2026 11:38 AM

ISTANBUL, 16 Feb (Bernama-Anadolu) -- Turkiye sedang bersiap sedia untuk memperkenalkan peraturan baharu bagi melindungi kanak-kanak di platform media sosial, menurut Menteri Keluarga dan Perkhidmatan Sosial negara itu pada Ahad, lapor Anadolu Ajansi.

Menerusi platform media sosial Turkiye NSosyal, Mahinur Ozdemir Goktas berkata kerajaan hampir melaksanakan langkah berkenaan susulan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap kesan rangsangan digital berterusan ke atas kanak-kanak.

“Sama seperti kebanyakan negara lain di seluruh dunia, kami sudah hampir untuk melaksanakan peraturan media sosial yang bertujuan melindungi kanak-kanak,” katanya.

Goktas memberi amaran bahawa tempoh tumpuan manusia kini menurun kepada kira-kira lapan saat, satu trend yang menurut beliau lebih menjejaskan kanak-kanak berbanding orang dewasa.

Beliau berkata tempoh tumpuan kanak-kanak merosot sekurang-kurangnya 30 peratus dalam tempoh sedekad lalu, sekali gus menjejaskan konsentrasi, hubungan persahabatan dan prestasi akademik mereka.

Perubahan itu juga menjadikan proses pengajaran lebih sukar, katanya sambil menambah bahawa peraturan media sosial untuk kanak-kanak yang serupa sedang dibahaskan atau diperkenalkan di beberapa negara di seluruh dunia.

Beliau berkata Turkiye sedang berusaha mewujudkan persekitaran internet yang lebih selamat untuk kanak-kanak dan menyeru ibu bapa serta guru menyokong usaha berkenaan.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan