KUALA LUMPUR, 16 Feb (Bernama) -- Bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin memfailkan permohonan supaya lima kes rasuah yang dihadapinya dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi di sini.
Peguam Datuk Amer Hamzah Arshad yang mewakili Shamsul Iskandar ketika dihubungi selepas pengurusan kes berkata permohonan telah difailkan di Mahkamah Tinggi pada 4 Feb lepas dan ditetapkan untuk pendengaran pada 9 April ini.
Menerusi notis usul, Shamsul Iskandar, 50, memfailkan permohonan itu atas alasan terdapat persoalan dan isu undang-undang yang melibatkan Perlembagaan Persekutuan, dan menegaskan bahawa permohonan itu tidak akan memprejudiskan mana-mana pihak, sebaliknya akan memudahkan kesemua pihak yang terlibat.
Berdasarkan afidavit sokongan yang difailkan bersama notis usul itu, Shamsul Iskandar antara lain menyatakan bahawa kes berkenaan akan melibatkan persoalan undang-undang yang kompleks termasuk pemakaian Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 bagi kes-kes yang melibatkan sumbangan politik serta pentafsiran istilah undang-undang yang bersifat teknikal.
“Sekiranya perbicaraan dijalankan di Mahkamah Tinggi, maka pihak-pihak akan mendapat peluang untuk merayu di Mahkamah Persekutuan, terutama berhubung dengan perkara-perkara yang melibatkan keperlembagaan peruntukan-peruntukan di bawah berkenaan,” katanya dalam afidavit sokongan itu.
Pada 4 Dis 2025, Shamsul Iskandar didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan bersetuju menerima suapan secara rasuah bagi dirinya sendiri, iaitu wang tunai berjumlah RM100,000 daripada seorang ahli perniagaan Albert Tei Jiann Cheing, 37, sebagai dorongan untuk membantu syarikat milik Tei mendapat kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah, walaupun perkara itu tiada kaitan dengan hal ehwal prinsipal tertuduh.
Beliau turut didakwa menerima suapan wang tunai RM40,000 daripada Tei bagi tujuan yang sama, serta dua lagi pertuduhan menerima suapan berbentuk kelengkapan perabot dan barangan elektrik bernilai RM14,580.03 dan RM22,249 daripada individu yang sama bagi tujuan serupa.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di premis di Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya, di tempat letak kereta sebuah hotel di Jalan Sultan Hishamuddin, di sini dan di Jalan P14a 1/1, Presint 14, Putrajaya, antara 7 Dis 2023 hingga 31 Jan 2024, serta di Jalan P14a 1/1, Presint 14, Putrajaya, antara 24 Nov 2023 hingga 5 Mac 2024.
Pada 5 Dis tahun lepas, Shamsul Iskandar didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas satu pertuduhan secara rasuah memperoleh suapan berjumlah RM62,924 daripada Tei di sebuah bank di Country Heights, Kajang antara 28 Nov 2023 hingga 23 Sept 2024.
Wang berkenaan dimasukkan ke dalam akaun bank seorang wanita bagi tujuan pembayaran sewa sebuah rumah di Kuala Lumpur, dan didakwa sebagai dorongan untuk membantu syarikat milik Tei yang berkepentingan mendapat kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.
Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (SPRM) [Akta 694] dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda sekurang-kurangnya lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial