WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SARA UNTUK SEMUA MEDIUM KONGSI REZEKI, BUAT BEKALAN RAMADAN

17/02/2026 09:16 AM

Oleh Rashidah Abd Rahim

MELAKA, 17 Feb (Bernama) -- Bagi sesetengah orang, RM100 yang diterima menerusi Sumbangan Asas Rahmah (SARA) Untuk Semua mungkin jumlah yang kecil, namun di tangan mereka yang tahu menghargai, nilainya mampu berkembang menjadi sinar buat insan lain yang lebih memerlukan.

Bagi Raziah Ismail, 40, dari Kota Laksamana di sini, pemberian itu digunakannya sebaik mungkin untuk membeli barangan asas seperti beras, telur, minyak, gula, mihun dan biskut, tetapi bukan untuk diri sendiri, sebaliknya disedekahkan kepada keluarga yang kurang berkemampuan.

"Kali ini sama juga seperti SARA tahun lepas, saya kongsikan pemberian itu dengan satu keluarga yang memerlukan. Saya beli barangan asas yang selalunya mereka perlukan untuk kelangsungan hidup," katanya ketika ditemui Bernama.

Raziah berkata dia bukannya tidak bersyukur dengan bantuan yang diterima, tetapi merasakan pendapatannya yang bekerja di sektor swasta mencukupi dan ada insan yang lebih memerlukan.

"Saya sedar di sekeliling saya masih ada yang tidak cukup serba-serbi. Walaupun mereka juga menerima sumbangan sama, barangan ini boleh dijadikan stok, terutama menjelang Ramadan nanti. Inilah cara saya berkongsi rezeki," katanya.

Suzana Sulaiman, 30, pekerja restoran makanan segera yang tinggal di Semabok, berkata pemberian SARA untuk Semua buat kali kedua disambut dengan penuh kesyukuran, lebih-lebih lagi menjelang bulan puasa.

Katanya, dia dan empat lagi adik-beradiknya bersepakat menggunakan sumbangan itu untuk membeli barangan keperluan seperti beras, minyak dan gula bagi kegunaan di rumah ibu mereka di Bukit Serindit.

"Pemberian SARA kali kedua sebelum puasa, jadi bolehlah beli barangan dapur yang diperlukan kerana bulan puasa selalunya kami masak dan berbuka di rumah emak," katanya.

Bagi Lee Ah Hock, 56, yang tinggal sebatang kara di Banda Hilir, sumbangan SARA itu amat bermakna buatnya untuk membeli barangan asas bersempena dengan Tahun Baharu Cina.

"Ada orang kata RM100 tidak banyak, tetapi bagi saya, banyak yang boleh dibeli. Hidup seorang ini, bukannya makan banyak, yang penting ada beras, minyak, telur. Itu sudah cukup," katanya.

Sementara itu, Joyce Tee, 18, dari Bukit Baru yang menerima SARA untuk Semua buat kali pertama berkata sumbangan berkenaan akan digunakan untuk membeli barangan dapur bagi membantu ibunya menjimatkan sedikit perbelanjaan keluarga.

"Tiada apa-apa yang ingin dibeli untuk diri sendiri. Gembira sebab dapat bantu emak, walaupun sedikit," katanya yang mahu meringankan beban ibu.

SARA untuk Semua sebanyak RM100 secara sekali beri kepada rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas dikreditkan pada 9 Feb lepas dengan penebusan dibuat menggunakan MyKad.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pada Ahad berkata kira-kira 8.1 juta penerima telah menebus bantuan berkenaan setakat Jumaat lepas dengan perbelanjaan keseluruhan hampir RM780 juta.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan