WILAYAH - TENGAH > BERITA

PASCA F1: BAGAIMANA SIC KEKALKAN MOMENTUMNYA

17/02/2026 11:44 AM

 

Oleh Siti Radziah Hamzah

(Nota: Ini merupakan bahagian pertama daripada siri tiga artikel yang meneliti ekosistem sukan permotoran Malaysia. Artikel ini memfokuskan cara Litar Antarabangsa Sepang (SIC) menstruktur semula model perniagaannya selepas berakhirnya Formula Satu (F1) melalui kadar penggunaan yang lebih tinggi dan aktiviti komersial yang berulang)

 

KUALA LUMPUR, 17 Feb (Bernama) -- Kelangsungan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) selepas Formula Satu (F1) tidak banyak dipengaruhi oleh kekurangan penganjuran acara bertaraf dunia sebaliknya, lebih banyak dibentuk oleh kekuatan model perniagaan berasaskan kadar penggunaan disokong oleh penggunaan litar yang kerap dan aktiviti komersial yang berulang.

Walaupun F1 pernah mentakrifkan profil antarabangsa litar ini, penggunaan litar secara harian -- terutamanya hari litar, tempahan korporat dan aktiviti yang diterajui oleh pengeluar -- telah lama menjadi teras kepada kemampanan kewangan SIC.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif SIC Datuk Razlan Razali berkata penggunaan secara berulang berbanding acara berprofil tinggi menjadi asas kepada model operasi litar tersebut.

“Dari segi pendapatan daripada penggunaan litar secara harian, hari litar merupakan sumber pendapatan utama kami. F1 dan MotoGP merupakan penjana utama pendapatan pada masa itu tetapi untuk kemampanan harian, hari litar menjadi keutamaan,” katanya kepada Bernama.

Razlan berkata kadar penggunaan litar adalah tinggi sebelum pandemik COVID-19, dengan hampir 90 peratus daripada hari yang boleh digunakan untuk aktiviti di litar biasanya mendapat tempahan didorong terutamanya oleh syarikat swasta, kelab kereta dan motosikal, pengeluar dan penganjur acara profesional. 

Model dengan kekerapan tinggi ini walaupun kurang mendapat perhatian berbanding acara perlumbaan pada hujung minggu, memastikan aliran tunai yang konsisten, aktiviti sepanjang tahun dan penyertaan rantaian nilai sukan permotoran yang lebih luas melibatkan pembekal, pengeluar dan penyedia perkhidmatan.

 

SIC selepas era F1

Selepas berakhirnya F1 pada 2017, perdebatan awam sering tertumpu pada persepsi mengenai kebolehcapaian dan harga.

Razlan berkata kritikan sedemikian tidak mengambil kira kos tetap dan kewajipan kawal selia yang berkaitan dengan pengoperasian sebuah kemudahan sukan permotoran bertaraf dunia.

Beliau berkata perbelanjaan operasi dibentuk oleh standard antarabangsa yang ditetapkan oleh Fédération Internationale de l'Automobile (FIA) dan Fédération Internationale de Motocyclisme (FIM), meliputi kualiti litar, sistem keselamatan dan kesediaan operasi.

Keperluan ini mengehadkan sejauh mana harga dan akses boleh dilonggarkan tanpa menjejaskan daya maju kewangan.

“Orang ramai sering bertanya mengapa SIC begitu mahal atau sukar mendapat akses tetapi tidak wajar jika terlalu murah,” katanya, sambil menambah litar itu mengekalkan akauntabiliti terhadap pihak berkepentingannya terutamanya dari segi prestasi kewangan.

SIC dimiliki oleh Kementerian Kewangan, dengan hala tuju sukan dan aktiviti strategik diselia oleh Kementerian Belia dan Sukan, menjadikan kemampanan komersial sebagai teras mandat operasinya.

 

Pemulihan pascapandemik dan permintaan yang meningkat

Pandemik COVID-19 telah mengganggu operasi untuk seketika dan kadar penggunaan litar melonjak semula dengan ketara kemudiaannya.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC Azhan Shafriman Hanif berkata kadar penggunaan litar telah melebihi 80 peratus pada 2025, mencerminkan permintaan berterusan daripada peserta tempatan dan serantau.

Walaupun kadar penggunaan yang tinggi mengukuhkan daya tahan pendapatan, ia turut mengurangkan tempoh penyelenggaraan, memberikan tekanan tambahan pada penyelenggaraan infrastruktur.

Apabila kadar penggunaan litar itu meningkat, mengekalkan standard litar menjadi kompleks. 

Razlan mengingatkan bahawa pengurangan kos yang berlebihan atau pelaburan yang berkurangan boleh menjejaskan SIC yang mungkin tidak dapat dipulihkan sepenuhnya, mengambil pengajaran daripada litar lain yang merosot dari segi kualiti disebabkan kekangan pembiayaan.

“Litar telah dibina. Jika tiada wang dan ia mula rosak, apa yang akan berlaku? Litar terpaksa ditutup,” katanya, mengingatkan bahawa kos pemulihan sering menjadi terlalu tinggi apabila standard mula merosot.

 

Hari litar profesional dan strategi pempelbagaian

Azhan Shafriman yang mengambil alih teraju SIC daripada Razlan pada 7 April, 2020, berkata bahagian signifikan atau utama kalendar itu kini disumbangkan oleh penganjur hari litar, kebanyakannya dari luar negara serta pengeluar peralatan tulen (OEM) yang menggunakan litar itu bagi tujuan pelancaran kereta selain aktiviti penggambaran dan komersial.

Beralih daripada pendekatan mengulangi model berteraskan prestij seperti sebelumnya, SIC lebih menyerlah sebagai kemudahan permotoran dengan kekerapan tinggi serta aspek pempelbagaian menjadi sebahagian daripada strategi pengurusan risiko jangka panjang.

Beliau berkata SIC juga telah membangunkan pelan induk 10 tahun yang melangkaui sehingga 2035, bertujuan memanfaatkan nilai tanah simpanan dimiliki yang belum dimajukan melalui pembangunan hospitaliti, komersial serta berkaitan sukan permotoran.

Matlamat itu antara lainnya, kata beliau, bukan bertujuan berganjak daripada permotoran, sebaliknya bagi menyokong serta menstabilkan operasi teras litar dengan memperluas aliran perolehan hasil dan mengukuhkan ekosistem persekitaran.

 

Aktiviti hari litar terancang demi manfaat pelumba, pasukan

Pelumba profesional Tengku Djan Ley Tengku Mahaleel berkata aktiviti hari litar masa kini lebih tersusun atau terancang berbanding sebelum ini, sekali gus memaparkan pendekatan penganjuran penyertaan permotoran itu.

“Sebelum ini, aktiviti itu lebih untuk individu yang melakukannya secara suka-suka atau tanpa tujuan tertentu. Namun, pada masa ini anda dapat lihat aktiviti hari litar yang lebih terancang,” katanya.

Ini termasuk sesi taklimat keselamatan serta latihan untuk pelumba atau pemandu bagi memahami aspek keselamatan dan disiplin pemanduan.

Sementara itu, pelumba lasak merangkap Prinsipal pasukan lumba Viper Niza Racing Douglas Khoo menyifatkan aktiviti hari litar itu sebagai penting bagi pasukan profesional, terutamanya sebagai platform persiapan dan pengujian.

“Apabila hari litar itu dianjurkan di Sepang dan tidak bercanggah dengan jadual saya misalnya, kami lazimnya akan memanfaatkan masa dengan menguji kereta masing-masing,” katanya.

Pada masa sama, beliau juga menganggap akses kepada litar sebagai penting kerana permotoran memerlukan tumpuan dan dedikasi masa di litar berbanding latihan tidak rasmi.

Khoo yang mengasaskan pasukan itu pada 2015, berkata ketersediaan aktiviti hari litar secara khusus juga membolehkan pasukan mengoptimumkan persiapan sambil menguruskan kos, khususnya perlumbaan lasak dan lanjutan tempoh pemanduan memberi nilai besar berbanding peningkatan perbelanjaan secara berperingkat.

Beliau berkata kalendar hari litar di Sepang secara kerap atau konsisten turut memberi peluang dari segi kelebihan terancang yang membantu berbanding keperluan pengujian di luar negara yang menelan kos tinggi.

 

Pembiayaan masa depan Sepang satu keutamaan

Dalam pada itu, Khoo turut mengakui memperuntukkan khusus bagi hari litar mencerminkan realiti komersial SIC dengan tempahan korporat dan aktiviti diterajui pengeluar saling bersaing bagi ruang kalendar yang sebaliknya terhad.

Walaupun wujud permintaan bagi menambah hari litar, beliau berkata keseimbangan semasa hanya mencerminkan disiplin penggunaan dan bukan kekurangan dari segi penyediaan.

Keadaan itu, katanya hanya menekankan peranan litar sebagai aset penjana pendapatan yang perlu mengutamakan kemampanan kewangan seiring dengan akses sukan.

Sejajar dengan perubahan landskap permotoran Malaysia, penentuan masa depan Sepang juga kian ketara oleh aspek disiplin penggunaannya berbanding acara utama -- satu anjakan yang memaparkan realiti komersial bagi mengekalkan litar bertaraf dunia dalam era pasca F1.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan