SHAH ALAM, 17 Feb (Bernama) -- Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) melaksanakan beberapa langkah bagi melindungi pengguna jalan raya dan orang awam susulan insiden pokok tumbang di Persiaran Tun Arshad Ayub, Seksyen 7, di sini semalam.
Pengarah Korporat dan Perhubungan Awam MBSA Mohd Fauzi Aziz Maamor berkata pihaknya telah mengaktifkan Audit Kecemasan bagi memeriksa keseluruhan pokok matang di zon terlibat dengan arboris bertauliah telah dilantik untuk menjalankan pemeriksaan teknikal secara terperinci.
Beliau berkata ia meliputi penilaian kesihatan struktur pokok, pemeriksaan sistem akar, pelaksanaan penandaan pokok dan pengesahan status risiko, pengemaskinian data Sistem Maklumat Geografi (GIS) serta penyediaan laporan profesional berserta cadangan mitigasi.
“Sebarang pokok yang dikenal pasti berisiko tinggi akan diambil tindakan serta-merta termasuk pemangkasan pengurangan kanopi atau penebangan pencegahan.
“Penilaian risiko pokok ini dilaksanakan berdasarkan pemerhatian fizikal meliputi tanda reput atau rekahan batang, keadaan kanopi tidak seimbang, serangan penyakit atau perosak, kecondongan abnormal serta keadaan tanah di pangkal pokok,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Fauzi berkata sebagai langkah awal bagi pengurusan insiden di lokasi tersebut, MBSA telah menugaskan anggota penguat kuasa di jalan terbabit serta melakukan penutupan sementara bagi memastikan kerja pemantauan serta pembersihan dapat dijalankan dengan selamat dan terkawal.
Beliau berkata kerja penyelenggaraan berkala telah dilaksanakan sepanjang 2025 di jalan tersebut merangkumi pemangkasan kanopi, pengurangan beban dahan, penebangan pokok mati serta pemantauan visual berkala terhadap pokok matang.
“Secara keseluruhan, puluhan pokok di lokasi tersebut telah dipangkas dan pokok mati telah ditebang mengikut keperluan teknikal pada awal Februari sebelum kejadian berlaku,” katanya.
Mohd Fauzi berkata MBSA memandang serius insiden tersebut dan sentiasa mengutamakan keselamatan serta kesejahteraan orang awam selain akan memastikan tindakan susulan dilaksanakan secara teliti, proaktif serta berperingkat dengan mengambil kira kepentingan semua pihak
Semalam, dua pensyarah wanita Fakulti Kejuruteraan Kimia Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam dilaporkan cedera selepas Mitsubishi Xpander dinaiki mereka dihempap pokok berdekatan sebuah pangsapuri di Persiaran Tun Arshad Ayub.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial