WILAYAH - SARAWAK > BERITA

RERUAI MRM: TINDAKAN PENGUATKUASAAN IKUT UNDANG-UNDANG - DBKL

18/02/2026 03:04 PM

KUALA LUMPUR, 18 Feb (Bernama) -- Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menegaskan tindakan penguatkuasaan terhadap khemah dan bahan milik Multiracial Reverted Muslims (MRM) di Jalan Bukit Bintang di sini semalam dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang.

DBKL dalam kenyataan memaklumkan penguatkuasaan di hadapan Bangunan Yayasan Selangor itu diambil selepas pemantauan mendapati berlaku pelanggaran peraturan berkaitan pemasangan khemah di  laluan pejalan kaki yang perlu bebas daripada halangan bagi menjamin keselamatan serta kelancaran pergerakan orang ramai.

“Petugas DBKL telah hadir ke lokasi bagi mendapatkan penjelasan daripada pihak yang terlibat. Walau bagaimanapun, selepas menunggu melebihi 30 minit, tiada wakil pihak berkenaan tampil untuk memberikan kerjasama atau penjelasan.

“Sehubungan itu, DBKL telah menurunkan khemah serta memindahkan bahan-bahan berkaitan untuk tujuan simpanan selaras dengan undang-undang dan peraturan kecil yang berkuat kuasa. Sepanjang pelaksanaan tindakan tersebut, pihak yang bertanggungjawab masih tidak hadir untuk memberikan penjelasan,” menurut kenyataan itu hari ini.

DBKL memaklumkan semua tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara profesional, berhemah dan berlandaskan undang-undang.

“Penguatkuasaan ini penting bagi memastikan keselamatan awam, ketenteraman bandar serta kelancaran penggunaan ruang awam terus terpelihara demi kepentingan bersama warga kota,” menurut kenyataan itu.

DBKL memaklumkan pihaknya tidak pernah menghalang sebarang aktiviti dakwah di ruang awam, namun semua aktiviti perlu mematuhi proses dan prosedur yang ditetapkan.

“Dalam masa terdekat, pihak pengurusan DBKL akan mengadakan perjumpaan dengan MRM bagi mengadakan perbincangan konstruktif ke arah penyelesaian jangka panjang serta memastikan situasi seumpama ini tidak berulang,” menurut kenyataan itu.

Media sebelum ini melaporkan terdapat beberapa pihak yang membantah dan mempersoalkan tindakan DBKL terhadap reruai dan bahan Street Dakwah anjuran MRM pada petang semalam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan