WILAYAH - SARAWAK > BERITA

POLIS TAHAN LELAKI DISYAKI PECAH SKRIN MESIN ATM DI JINJANG

18/02/2026 09:20 PM

KUALA LUMPUR, 18 Feb (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki warga emas dipercayai terlibat dalam perbuatan khianat memecahkan skrin mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di beberapa cawangan bank di sekitar Jinjang di sini.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Basri Sagoni berkata suspek warga tempatan berusia 65 tahun itu ditahan pada 3.21 petang tadi dan polis merampas sebuah motosikal, sebuah topi keledar, pakaian dan seketul batu yang digunakan dalam jenayah berkenaan.

“Siasatan awal mendapati suspek memecahkan skrin mesin berkenaan menggunakan objek batu kerana tidak berpuas hati selepas gagal mengeluarkan wang daripada mesin ATM,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata dengan penahanan itu, polis berjaya menyelesaikan lima kes khianat pecah skrin mesin ATM yang dilaporkan sebelum ini.

Basri berkata siasatan lanjut diteruskan bagi melengkapkan kertas siasatan dan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk pertuduhan.

Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki disyaki terlibat dalam siri kes khianat memecahkan beberapa mesin ATM di sekitar Jinjang dengan anggaran kerugian RM64,000.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan