WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MAS TEGUR SIKAP PENERJUN SENIOR

20/02/2026 03:58 PM

KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) -- Akuatik Malaysia (MAS) mengakui kebimbangan berhubung prestasi beberapa penerjun senior negara yang dilihat kurang berkembang, namun menegaskan pencapaian kekal menjadi kriteria utama dalam menentukan kedudukan atlet dalam program kebangsaan.

Setiausaha Agungnya Andy Low berkata pihaknya sedang melaksanakan penyesuaian dari segi latihan dan perancangan program bagi membantu atlet meningkatkan Skor Kelayakan Minimum (MQS), selain menekankan aspek sikap serta etika kerja sebagai elemen penting.

“Untuk melangkah ke hadapan, mereka perlu mengubah sikap. Mereka perlu berlatih bersungguh-sungguh, mendengar arahan jurulatih dan mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan.

“Sebagai atlet, jika mahu berada di tahap tertinggi dan terus kekal dalam program latihan, mereka perlu menandingi cabaran semasa. Juara dunia ketika ini berusia 14 dan 16 tahun. Jika mahu berada dalam kelompok itu, mereka perlu berlatih seperti mereka, berlatih lebih keras dan mempamerkan prestasi setanding,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mesyuarat jawatankuasa kerja di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, hari ini.

Sementara itu, Low berkata mesyuarat berkenaan turut menghasilkan beberapa keputusan penting membabitkan pemilihan atlet serta penstrukturan semula program.

“Kita mempunyai bukti bahawa atlet baharu (renang) berkeupayaan untuk meraih kedudukan podium pada Sukan SEA 2027. Bagi acara terjun, perkara sama turut dilaksanakan dan kita juga melakukan penambahbaikan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan MAS akan membuat pengumuman rasmi mengenai pelantikan jurulatih asing bagi skuad terjun dan renang kebangsaan sebaik semua proses dimuktamadkan dalam masa terdekat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan