WILAYAH - SARAWAK > BERITA

JUNJUNG TITAH AGONG, USAHA BANTERAS RASUAH AKAN DIPERKASAKAN - SPRM JOHOR

20/02/2026 06:17 PM

JOHOR BAHRU, 20 Feb (Bernama) -- Usaha pencegahan dan tindakan operasi pembanterasan rasuah di Johor akan terus diperkasakan secara progresif, menyeluruh dan berterusan bagi memastikan gejala itu dapat dibendung dengan lebih berkesan.

Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor Hairuzam Mohmad Amin @ Hamin berkata komitmen itu selari titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang menzahirkan kebimbangan bahawa rasuah masih berleluasa seolah-olah tidak lagi dilihat sebagai perbuatan yang bertentangan dengan ajaran agama dan nilai moral.

“SPRM Johor komited untuk terus bekerjasama rapat dengan Kerajaan Negeri Johor dalam usaha meningkatkan sistem tadbir urus yang baik serta memperkasakan budaya integriti di negeri ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu susulan kunjungan hormat Hairuzam ke atas Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi di kediaman rasmi beliau semalam. 

Turut hadir Timbalan Pengarah (Operasi) SPRM Johor Hairul Ilham Hamzah dan Timbalan Pengarah (Pencegahan) SPRM Johor Sheikh Hamadi Sheikh Abdul Hamid.

Hairuzam berkata antara perkara dibincangkan termasuk isu semasa berkaitan rasuah serta usaha memperkukuh komitmen bersama antara agensi penguatkuasaan dan kepimpinan kerajaan negeri.

Katanya kedua-dua pihak turut menyentuh pelbagai aspek berkaitan integriti dan tadbir urus baik di Johor termasuk cabaran penguatkuasaan serta keperluan memperhebat mekanisme pencegahan rasuah secara menyeluruh.

Sementara itu, Onn Hafiz dalam kenyataan sama menyarankan agar seluruh penjawat awam negeri sentiasa memelihara integriti dalam melaksanakan amanah serta tidak terlibat sebarang perbuatan meminta atau menerima imbuhan yang boleh menjejaskan ketelusan dan imej perkhidmatan awam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan