WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MALAYSIA TELITI KEPUTUSAN MAHKAMAH AS, LANGKAH TARIF TRUMP

21/02/2026 02:46 PM

KUALA LUMPUR, 21 Feb (Bernama) -- Malaysia sedang menilai implikasi keputusan Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) dan tarif baharu yang diumumkan oleh Presiden AS Donald Trump, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Beliau dalam kenyataan hari ini berkata Malaysia mengambil maklum mengenai keputusan mahkamah tertinggi AS yang disampaikan pada 20 Februari dan sedang meneliti semula perkembangan undang-undang dan dasar terkini AS.

Pada Jumaat, media melaporkan bahawa Mahkamah Agung itu membatalkan sebahagian besar daripada langkah tarif yang diperkenalkan Trump sebelum ini, dengan memutuskan bahawa beliau tidak mempunyai kuasa di bawah undang-undang AS untuk mengenakan tarif menyeluruh secara unilateral.

Malaysia telah memeterai Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) tetapi belum meratifikasi perjanjian itu, kata Johari sambil memaklumkan bahawa Washington masih mempunyai saluran perundangan lain untuk melaksanakan langkah perdagangan termasuk tarif unilateral.

Johari turut merujuk kepada pengumuman Trump mengenai tarif sementara sebanyak 10 peratus, dengan memaklumkan bahawa Malaysia sedang mengkaji skop dan potensi kesannya.

“Buat masa ini, kami sedang menunggu penjelasan lanjut mengenai kaedah untuk langkah berkenaan akan dilaksanakan, dan sama ada pelarasan tambahan akan dibuat,” kata Johari.

AS adalah rakan dagang utama bagi Malaysia (US$1 = RM3.90) dengan Keluaran Dalam Negara Kasar kira-kira US$31 trilion.

Pada 2025, jumlah perdagangan antara kedua-dua negara mencecah sekitar RM367 bilion, termasuk RM233 bilion eksport Malaysia ke AS.

Johari turut menegaskan komitmen Malaysia terhadap perdagangan terbuka dan berasaskan peraturan, dan menurutnya kerajaan akan melindungi kepentingan pengeksport, pelabur dan pekerja di seluruh negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan