WILAYAH - SARAWAK > BERITA

POLIS BURU TIGA SUSPEK TIPU, PUKAU PESARA KERAJAAN

21/02/2026 06:58 PM

KUALA LUMPUR, 21 Feb (Bernama) -- Polis memburu tiga suspek dipercayai menipu dan memukau seorang pesara kerajaan hingga mengakibatkan wanita itu kerugian barang kemas bernilai kira-kira RM10,000 di sebuah pasar raya di Jalan Pandan Prima, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Khairul Anuar Khalid berkata dalam kejadian kira-kira 11 pagi, mangsa berusia 70 tahun didatangi sepasang suami isteri dan seorang wanita dipercayai warga Indonesia yang berpura-pura meminta bantuan.

“Suspek mendakwa memiliki tiket loteri bernilai RM300,000 dan meminta bantuan mangsa untuk menebusnya dengan alasan mereka tidak mempunyai kad pengenalan dan menjanjikan imbuhan kepada mangsa.

“Suspek wanita warga asing kemudiannya memegang mangsa, menyebabkan warga emas itu seperti dipukau dan bersetuju untuk membantu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Khairul Anuar berkata mangsa dibawa menaiki kereta Proton Waja dan semasa di dalam kenderaan, seorang suspek menyatakan tiket loteri telah ditukar kepada sekeping cek untuk ditunaikan mangsa.

Bagaimanapun, suspek meminta wang cagaran sebanyak RM30,000 daripada mangsa sebagai jaminan tidak melarikan diri ketika menunaikan cek itu.

“Oleh kerana tidak mempunyai wang tunai, mangsa bertindak menyerahkan seutas rantai dan gelang emas bernilai kira-kira RM10,000 sebagai cagaran.

“Mangsa dibawa ke sebuah bank untuk menunaikan cek namun sebaik sahaja wanita itu keluar dari kereta, kesemua suspek melarikan diri,” katanya.

Beliau berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan