WILAYAH - SARAWAK > BERITA

LRT3 SHAH ALAM DIJANGKA BEROPERASI SEBELUM JUN - LOKE

23/02/2026 12:36 PM

KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) -- Perkhidmatan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) yang menghubungkan Shah Alam dan kawasan sekitarnya dijangka beroperasi sebelum Jun ini, selepas semua proses ujian, pentauliahan serta penyelesaian isu teknikal disiapkan dalam tempoh satu hingga dua bulan akan datang.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata setakat ini dua kumpulan tren melibatkan 14 daripada 22 tren telah selesai menjalani ujian larian tanpa gagal (FFR) manakala satu lagi kumpulan merangkumi lapan tren masih dalam proses menjalani ujian berkenaan selama 22 hari.

“Setakat semalam masih terdapat beberapa isu teknikal yang perlu diselesaikan dan selepas ujian FFR ini dijalankan terhadap semua tren ini, maka proses seterusnya ialah ujian dan pentauliahan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

“Semuanya dijangka disiapkan dalam masa satu hingga dua bulan akan datang. Jadi jadual baharu yang diletakkan sebagai sasaran ialah pada Mac tahun ini,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Senator Mohd Hasbie Muda mengenai jaminan tarikh baharu projek itu dapat disiapkan selepas beberapa kali mengalami penangguhan.

Loke berkata pada masa sama Prasarana Malaysia Berhad sedang mempercepat penyiapan projek dan semua ujian berkaitan supaya laluan itu dapat dibuka lebih awal daripada bulan Jun.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menafikan kelewatan pengoperasian LRT3 berkait dengan langkah rasionalisasi kos projek, sebaliknya berpunca daripada isu teknikal yang timbul semasa fasa ujian sistem.

“Apa yang berlaku sekarang ialah isu teknikal, bukannya isu pengurangan kos. Langkah pengurangan kos sebelum ini telah mengambil kira pelbagai faktor termasuk mekanisme pelaksanaan projek.

“Ketika itu terdapat stesen yang dikurangkan bagi menjimatkan kos. Namun apa yang berlaku sekarang tidak mempunyai kaitan langsung dengan keputusan rasionalisasi kos atau kaedah pelaksanaan projek pada 2018,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Rosni Sohar yang ingin mengetahui sama ada pengurangan kos dan skop projek menyumbang kepada kelewatan projek berkenaan.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan