KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) -- Persidangan Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pemberian Mengikut Bilangan Orang 2026 yang bertujuan mengubah kadar pemberian mengikut bilangan orang setiap negeri mengikut struktur baharu.
RUU itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas ia dibentangkan oleh Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong bagi bacaan kali kedua dan ketiga.
“Kita telah mulakan satu proses untuk menyemak bilangan capitation grant atau pemberian bilangan orang dan ini adalah titik permulaan untuk kita memastikan semakan semula yang lebih berkala iaitu setiap 10 tahun," katanya ketika menggulung perbahasan RUU Pemberian Mengikut Bilangan Orang 2026 di Dewan Rakyat hari ini.
Kali terakhir pindaan kepada kadar pemberian ini dibuat adalah 24 tahun yang lepas iaitu pada tahun
2002.
Mengenai sama ada RUU tersebut terkait dengan pemberian khas kepada Sabah berdasarkan 40 peratus hasil negeri itu, Liew berkata ia tiada kaitan dengan pindaan berkenaan.
"Ini memandangkan RUU ini hanya menyemak kadar pemberian mengikut bilangan orang," katanya.
RUU itu bertujuan untuk menambah pemberian mengikut bilangan orang yang diberi kepada setiap negeri dan untuk memastikan layanan yang lebih adil negeri yang kurang penduduk, malah negeri yang ramai penduduk turut mendapat pemberian yang lebih tinggi.
Akta itu yang akan berkuat kuasa pada 1 April ini dan dijangka melibatkan perbelanjaan wang tambahan sehingga RM538 juta.
Terdahulu, Liew berkata penggubalan akta yang dicadangkan adalah bersifat pentadbiran bagi tujuan untuk menguatkuasakan kadar Pemberian Mengikut Bilangan Orang yang baharu.
“Bahagian 1, Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda untuk membolehkan kadar
baharu tersebut dilaksanakan. Selain itu, untuk membatalkan (repeal) Akta Pemberian Mengikut Bilangan Orang 2002 (Akta 622),” tambahnya.
Persidangan bersambung esok.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial