WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SINDIKET PROSES DADAH TUMPAS, DADAH BERNILAI RM1.2 JUTA DIRAMPAS

23/02/2026 08:45 PM

GEORGE TOWN, 23 Feb (Bernama) -- Polis berjaya menumpaskan satu sindiket pemprosesan dadah dan merampas syabu serta heroin bernilai hampir RM1.2 juta hasil penahanan tiga lelaki dalam beberapa serbuan di sekitar Seberang Perai Utara dan daerah Barat Daya pada Jumaat dan Sabtu lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail berkata serbuan yang bermula pada 9 pagi Jumaat dan berakhir 8 pagi keesokannya itu, dilakukan hasil risikan dan maklumat yang diterima.

"Dalam serbuan pertama di Teluk Air Tawar di Seberang Perai Utara, polis menahan seorang lelaki di hadapan sebuah rumah dan hasil soal siasat, dia telah membawa polis ke satu lokasi penyimpanan dadah.

“Hasil pemeriksaan, polis merampas heroin seberat lima kilogram (kg) serta syabu sebanyak 10.33 kg yang disimpan dalam beberapa beg berzip dan plastik lut sinar," katanya dalam kenyataan hari ini.

Suspek kedua pula ditahan di tepi jalan di kawasan Barat Daya, Pulau Pinang yang kemudian membawa polis ke sebuah kediaman lain dan hasilnya polis merampas heroin seberat 3,032 gram (g) serbuk kafein (18.5 kg), serbuk penaik (2,032 gram) serta pelbagai cecair kimia dan peralatan dipercayai digunakan untuk memproses dadah. 

Suspek ketiga pula turut ditahan di kawasan Barat Daya namun tiada sebarang dadah dirampas daripada lelaki itu.

“Hasil operasi berkenaan, polis telah menjalankan tindakan penyitaan kenderaan iaitu dua kereta dan dua motosikal, barangan kemas dan wang tunai yang keseluruhannya bernilai RM245,000,” katanya.

Azizee berkata siasatan awal mendapati sindiket yang aktif sejak Disember lepas itu dipercayai mendapatkan bekalan dadah daripada rangkaian mereka sebelum memproses dan membungkus semula bahan terlarang tersebut untuk pasaran tempatan di Pulau Pinang.

Polis, katanya sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan rangkaian sindiket itu dan dadah yang dirampas itu dipercayai boleh digunakan kira-kira 70,000 penagih.

Beliau berkata ketiga-tiga lelaki berusia antara 37 hingga 58 tahun itu kini direman hingga 27 Feb ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan