WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MAIWP AGIH RM1.02 JUTA BANTU 5,100 ASNAF MELALUI PROGRAM NUR RAMADAN

23/02/2026 08:41 PM

PUTRAJAYA, 23 Feb (Bernama) -- Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memperuntukkan sumbangan berjumlah RM1.02 juta untuk diagihkan kepada 5,100 asnaf dan fakir di Wilayah Persekutuan melalui Program Nur Ramadan Wilayah Persekutuan 2026.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata setiap penerima akan menerima bantuan tunai RM200, membabitkan 3,300 orang di Kuala Lumpur, Labuan (1,500) dan Putrajaya (300).

"Walaupun sederhana, bantuan ini memberi kelegaan kepada keluarga memerlukan, dan kejayaannya bergantung kepada pelaksanaan yang cekap serta berintegriti," katanya ketika berucap pada Program Nur Ramadan Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Beliau berkata Program Nur Ramadan Wilayah Persekutuan 2026 mencerminkan  komitmen kerajaan dalam menyokong komuniti sepanjang Ramadan.

"Program ini dilaksanakan melalui kerjasama Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), Perbadanan Putrajaya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Perbadanan Labuan dan MAIWP bagi memastikan bantuan disampaikan secara tersusun dan berkesan," katanya.

Pada majlis itu, Hannah menyerahkan bantuan tunai RM200 setiap seorang kepada 300 penerima sumbangan terpilih di Putrajaya.

Beliau turut menyampaikan sumbangan khas sebanyak RM5,000 kepada masjid dan surau rakan strategik Program Nur Ramadan di Kuala Lumpur dan Labuan yang memainkan peranan penting sebagai institusi komuniti dan pusat sokongan sepanjang Ramadan.

Hannah dalam pada itu berkata Festival Ramadan Putrajaya 2026 yang berlangsung sejak 18 Feb lepas hingga 19 Mac ini, membuka peluang ekonomi kepada peniaga kecil, menghidupkan aktiviti komuniti dan memanfaatkan ruang awam secara inklusif, selaras dengan Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).

"Festival ini turut menyokong aspirasi Putrajaya sebagai Bandar Hijau Rendah Karbon melalui transaksi tanpa tunai, pengurangan plastik sekali guna, penggunaan beg guna semula, dan kempen mengelakkan pembaziran makanan," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan