WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KPDN ARAH PREMIS SEDIA BUKU LOG PEMBELIAN MINYAK MASAK PEKET

24/02/2026 12:08 PM

SEREMBAN, 24 Feb (Bernama) -- Premis perniagaan yang mempunyai lesen menjual minyak masak peket satu kilogram di Negeri Sembilan diminta menyediakan buku log bagi pembelian manual, khususnya kepada warga emas yang tiada aplikasi Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS). 

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan Muhammad Zahir Mazlan berkata surat makluman mengenai perkara itu diedarkan kepada semua premis di negeri berkenaan pada 16 Dis lepas, sebelum pelaksanaan penuh berkuat kuasa 1 Mac ini. 

Beliau berkata pihaknya sebelum ini giat melaksanakan advokasi penggunaan aplikasi itu dan meminta kerjasama daripada semua premis melaksanakan penggunaan eCOSS tanpa gagal bagi membendung ketirisan.

“Hebahan dan pemakluman kepada semua peniaga termasuk pasar raya adalah dikehendaki menyediakan buku log bagi merekodkan transaksi secara manual.

“Pengguna perlu tunjukkan kad pengenalan, kemudian isi buku log bagi setiap pembelian minyak masak peket dan pada masa sama, KPDN menasihatkan pengguna supaya memuat turun aplikasi eCOSS untuk memudahkan pembelian pada masa hadapan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Muhammad Zahir berkata setakat 11 Feb lepas, sebanyak 21,603 pengguna berdaftar eCOSS di negeri itu dan dijangka meningkat pada masa akan datang.

Beliau berkata jika pengguna mendapati peniaga tidak menyediakan buku log atau enggan menjual minyak masak peket, mereka boleh salurkan aduan kepada KPDN melalui WhatsApp 019-848 8000 atau e-mel ke e-aduan@kpdn.gov.my dan melalui Apps ezAdu.

Sementara itu, pemerhatian Bernama di premis perniagaan dan kedai serbaneka sekitar Seremban mendapati masih terdapat pengguna, khususnya warga emas tidak dapat membeli minyak peket disebabkan tiada akaun eCOSS.

Malah, pihak premis juga tidak menyediakan buku log bagi membolehkan urus niaga dilakukan secara manual, dengan alasan tiada makluman diterima daripada pihak pengurusan.

Seorang warga emas yang hanya mahu dikenali sebagai Tan, 65, berkata dia tidak memiliki telefon pintar untuk memuat turun aplikasi itu, sekali gus menyebabkannya tidak dapat membeli minyak peket.

“Saya harap pihak kedai dapat menyediakan alternatif lain supaya warga emas seperti saya boleh membeli tanpa perlu mengimbas kod QR,” katanya.

Nasib sama turut dialami Nancy, 67, yang terpaksa meminta bantuan anaknya untuk membelikan minyak peket kerana tidak mengetahui mengenai aplikasi itu.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan