KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Isu berkaitan aliran masuk pelaburan ke negara ini antara perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat pengurusan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
Menteri berkenaan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata perbincangan turut meliputi prestasi pelaburan asing yang diterima dan keperluan domestik berkaitan pengambilan pekerja asing.
Katanya mesyuarat itu juga bertujuan menyampaikan isu berbangkit yang memerlukan perhatian pengurusan kanan kementerian termasuk beberapa perkara penting yang memerlukan pertimbangan dan keputusan Perdana Menteri bagi memastikan pelaksanaan dasar berjalan lancar.
“Kita mengemukakan beberapa perkara penting yang memerlukan perhatian Perdana Menteri untuk membolehkan dasar dilaksanakan dengan lebih berkesan,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat itu di sini.
Turut hadir Timbalan Menteri MITI Sim Tze Tzin, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Setiausaha MITI Datuk Hairil Yahri Yaacob.
Johari berkata dasar MITI telah dirangka dan dilaksanakan, namun terdapat beberapa perkara yang boleh dipertimbangkan untuk penambahbaikan.
Beliau berkata isu berkaitan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) tidak dibincangkan dalam mesyuarat tersebut.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial