WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KASTAM PERLIS GAGALKAN CUBAAN SELUDUP KANABIS, ROKOK ELEKTRONIK BERNILAI LEBIH RM600,000

24/02/2026 03:09 PM

KANGAR, 24 Feb (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis berjaya menggagalkan cubaan menyeludup kanabis seberat 20 kilogram (kg) dan 9,400 unit peranti rokok elektronik (vape) keseluruhannya dianggar bernilai RM611,340 termasuk cukai bagi peranti vape itu pada awal bulan ini.

Pengarah Kastam Perlis Ismail Hashim berkata bertindak atas maklumat pada 1.30 pagi, 6 Feb lepas, pasukan operasi Cawangan Penguatkuasaan/Marin JKDM Kuala Perlis mengejar sebuah sampan fiber berenjin sangkut yang bergerak dalam keadaan mencurigakan di kawasan perairan Kurung Tengar, Kuala Perlis.

"Sampan itu kemudian memecut laju ke kawasan perairan cetek sebelum berhenti. Kelihatan beberapa lelaki dipercayai dalam tiga orang melarikan diri ke arah daratan dengan meninggalkan sampan berkenaan," katanya pada sidang media di Pangkalan Marin Kastam Kuala Perlis dekat sini hari ini.

Ismail berkata hasil pemeriksaan ke atas sampan itu menemukan beberapa bungkusan kotak mengandungi peranti vape pelbagai perisa dianggar bernilai RM454,000 dengan melibatkan nilai cukai RM95,340.

Ismail berkata peranti vape itu disyaki untuk diseludup ke negara jiran dan modus operandi dipercayai menyeludup melalui jalan laut pada awal pagi untuk mengelak dikesan pihak berkuasa manakala kes itu disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.

Mengenai rampasan kanabis itu, Ismail berkata bertindak atas maklumat pada 10 malam 10 Feb lepas, pasukan operasi itu berjaya menemukan dua bungkusan guni berwarna putih ditinggalkan dalam keadaan mencurigakan di kawasan tebing sungai Kampung Bukit Tok Po, Kuala Perlis.

“Hasil pemeriksaan mendapati guni itu mengandungi 20 ketulan mampat disyaki dadah jenis kanabis dianggar bernilai RM62,000 yang dipercayai diseludup masuk dari Thailand untuk pasaran utara dan Lembah Klang.

“Guni itu dipercayai ditinggalkan di tebing sungai itu untuk dipungut oleh individu lain sebelum diedarkan," katanya bahawa kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan