WILAYAH - SARAWAK > BERITA

HENTIKAN ‘PENJARA KEDUA’ TERHADAP ODS - SAIFUDDIN NASUTION

24/02/2026 09:10 PM

NILAI, 24 Feb (Bernama) -- Masyarakat dan ahli keluarga diseru agar menghentikan hukuman sosial dan persepsi negatif terhadap Orang Diselia (ODS) yang selesai menjalani hukuman sebaliknya memberi sokongan bagi membantu mereka membina kehidupan baharu.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata individu yang dibebaskan tidak seharusnya berdepan "penjara kedua" dalam bentuk pandangan sinis dan kata-kata nista malah wajar diberikan peluang untuk memulakan kehidupan baharu.

"Kita mahu mengalihkan fokus daripada menghukum kepada memulih secara tuntas... kita mahu mereka menjalani pemulihan di dalam komuniti agar proses asimilasi berlaku lebih pantas dan berkesan.

"Jika mereka berusaha memperbaiki diri melalui program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), kulinari dan tahfiz maka sambutlah insan ini dengan tangan terbuka," katanya ketika berucap pada Program Penerapan Nilai-Nilai Murni di Pusat Reintegrasi Penghuni, Mantin di sini hari ini.

Beliau berkata PRP Mantin menjadi simbol titik mula baharu bagi individu yang pernah tersasar untuk kembali ke pangkuan masyarakat, dengan dibekalkan pelbagai kemahiran sebagai persediaan meneruskan kehidupan.

Saifuddin Nasution juga berkata seramai 500 ODS di pusat itu dididik dan dipersiap dengan pelbagai kemahiran termasuk program tahfiz serta kerohanian bagi mengukuhkan benteng dalaman rohani.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada rakan strategik menerusi inisiatif Corporate Smart Internship hasil kerjasama 10 majikan dan syarikat swasta yang menawarkan peluang pekerjaan kepada ODS selaras dengan nilai ihsan dalam Malaysia MADANI.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan