KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Stok fizikal beras negara sehingga 3 Feb berjumlah 1.09 juta tan metrik merangkumi 200,000 tan metrik stok penimbal dan 889,285 tan metrik stok dagangan yang mencukupi untuk menampung keperluan selama 5.45 bulan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata stok itu satu daripada langkah kementerian bagi memastikan kesinambungan bekalan makanan negara sekiranya berlaku bencana.
Beliau berkata usaha lain termasuk melaksanakan projek rintis penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun melibatkan kawasan seluas 3,000 hektar secara berperingkat bermula 2024 di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).
“Selain itu, menaik taraf dan memodenkan sistem pengurusan air sektor pertanian dengan kerjasama awam swasta secara berfasa bagi pembangunan dan penyelenggaraan Skim Pemindahan Air Jeniang Fasa II untuk mengoptimumkan pengurusan air ketika musim banjir dan kemarau,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Zakri Hassan (PN-Kangar) yang ingin tahu langkah kerajaan memastikan kesinambungan bekalan makanan negara ketika bencana seperti banjir dan perubahan iklim yang menjejaskan pengeluaran hasil.
Mohamad berkata Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) turut menyediakan Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) menerusi penyaluran bantuan segera bagi meringankan beban kumpulan sasar yang terkesan bencana, penyakit tanaman atau serangan perosak.
“Pada 2025, bantuan bencana tanaman padi sebanyak RM5.04 juta disalurkan kepada 2,255 pesawah melibatkan kawasan musnah seluas 3,253.4 hektar,” katanya.
Mohamad berkata KPKM turut mempergiat aktiviti penyelidikan, pembangunan dan inovasi selain memperluas sistem amaran awal serangan perosak serta mengeratkan hubungan dengan negara pembekal makanan utama seperti anggota ASEAN, China, India, Pakistan, Brazil, Australia dan New Zealand.
Menjawab soalan tambahan bantuan kepada pesawah di Perlis yang terjejas banjir dan kemarau, beliau berkata ia akan disalurkan selepas proses pengesahan selesai.
Mohamad berkata sebanyak 265 pesawah di negeri itu dikenal pasti terkesan dengan banjir pada tahun lepas yang melibatkan kawasan tanaman padi seluas 333.82 hektar.
“Sehubungan itu, permohonan bantuan bernilai RM292,426 di bawah TBTP akan dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Induk pada 6 Mac sebelum disalurkan kepada pesawah terlibat,” katanya.
Selain itu, Mohamad berkata fenomena kemarau di Perlis pada Februari lepas melibatkan kawasan seluas kira-kira 300 hektar dan siasatan serta penilaian di lapangan sedang dilaksanakan Jabatan Pertanian negeri.
Beliau berkata sebarang kelewatan penyaluran bantuan disebabkan proses pengesahan kerosakan yang perlu dilaksanakan secara teliti bagi memastikan bantuan disalurkan kepada penerima yang layak.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial